Thursday, August 12, 2010

PENTADBIR MELAYU TERTEKAN DAN EFEKTIF BILA DISAJIKAN SESUATU YANG BERTENTANGAN DENGAN BUDAYA MEREKA

Saudara Pengarang,

Tindakan MB Selangor menghadiahkan penyapu kepada pengurusan PBT dan PTD Selangor boleh dilihat dari pelbagai perspektif oleh masyarakat kita. Bagaimanapun, yang penting adalah penerimaan masyarakat lebih-lebih lagi kepada penerimanya samada perseorangan, mewakili organisasi atau sebagainya. Jika masyarakat kita boleh melihat anugerah penyapu sebagai sesuatu yang positif seperti warga Jepun dan Korea, maka pendekatan sebegitu perlu diteruskan kerana ia memberi nilai tambah kepada budaya kerja dan komuniti itu sendiri.

Tetapi apa yang dikhuatirkan apabila komuniti itu tidak dapat menerima pendekatan yang barangkali menghina dan menjelikkan sesaorang dan organisasi tersebut. Pada kebiasaannya, mengukur pretasi kerja dan pengurusan harus diadakan melalui pendekatan dalaman organisasi tersebut seperti pertandingan kreativiti, inovatif serta kepimpinan bagi mencari kaedah untuk meningkatkan moral dan pretasi organisasi berkenaan. Diharap dengan pendekatan sebegini dapat diterima oleh komuniti itu kerana peluang tersebut dapat mencelikkan komuniti dan budaya organisasi itu sendiri.

Apapun, saya dapat merasai kenapa MB Selangor menghadiahkan penyapu kerana sebelum ini sudah banyak rungutan dari masyarakat dan mesej-mesej supaya perubahan dan keberkesanan PBT dan PTD dapat dimanafaat oleh penduduk setempat. Malangnya, respon dari pentadbir - pentadbir ini amat dingin dan gagal menyerahkan pelan tindakan seperti yang diharapkan oleh pejabat MB. Barangkali faktor enggan berubah dari zon selesa (confort zone) sambil menikmati budaya kerja sambil lewa sehingga suasana kerja pejabat dan luar pejabat menjadi "warong sembang-sembang" tanpa melakukan banyak kerja-kerja bernilai kepada rakyat.

Maka dengan itu, sebagai pemimpin besar dan berpengaruh di Selangor, saudara Mohd Khir Toyo terpaksa mencari satu titik dimana "pendekatan menekan" perlu dilaksanakan supaya budaya kerja baru dan berwawasan dapat diteladani oleh generasi kepimpinan pelapis. Syabas, saya ucapkan kepada beliau walaupun barangkali "musuh politik" dan orang-orang yang tak sehaluan tidak bersetuju atau merestuinya.