Monday, August 16, 2010

KECUAIAN PENGIRIM MENGAKIBATKAN PENERIMA DIDENDA OLEH POS MALAYSIA.

Pengarang,

Baru baru ini Pos Malaysia menghantar notis kepada anak saya untuk mendapatkan surat dari pejabat Pos Malaysia Kompleks Dayabumi yang tidak memenuhi kadar setem yang di tetapkan. Oleh kerana tidak dinyatakan pengirim, beliau bergegas dari tempat belajar di Cyberjaya menjangkakan surat itu amat penting dan perlu diambil secepat mungkin.

Setelah berjumpa dengan pihak kaunter Pos Malaysia Kompleks Dayabumi, beliau diarah membayar denda kerana pengirim tidak mematuhi syarat-syarat yang tidak pernah kami diberitahu. Beliau terus membayar denda bagi mematuhi prosidur Pos Malaysia untuk mendapatkan surat tersebut.

Saya dimaklumkan mengenai denda yang dikenakan dan amat terperanjat bahawa berat kandungan surat tersebut hanyalah 9 gram iaitu sehelai resit pembayaran bagi menduduki peperiksaan Malaysian University Test (MUET) dari Jabatan Pelajaran W Persekutuan (pengirim) yang dibayar oleh anak saya pada bulan Julai 2010. Dari sumber rujukan Pos Malaysia, sampul surat tersebut yang bersetem 0.60 sen dan beralamat sendiri mematuhi prosidur Pos Malaysia melainkan jika berat surat tersebut melebihi 20gram.

Saya membuat protes mengenai denda yang dikenakan dan diberitahu oleh petugas Pos Malaysia bahawa denda tersebut disebabkan oleh sampul surat yang bersetem dan dibekalkan oleh anak saya kepada Jabatan tersebut telah di "cop" oleh Jabatan tersebut dengan nama serta alamat mereka. Mengikut prosidur Pos Malaysia, "sebarang tanda" dimuka depan sampul surat adalah satu kesalahan dan didenda sebanyak 0.30 sen mengakibatkan anak saya menghabiskan masa perjalanan dari Cyberjaya ke Pos Malaysia Kompleks Dayabumi sejauh 30KM pergi balik.

Saya meragui prosidur ini boleh memajukan perniagaan Pos Malaysia dimasa akan datang dalam mengharungi perubahan global dunia perniagaan. Persoalannya kenapa kesilapan pengirim ditanggung oleh penerima tanpa rasional yang jelas? Kenapa budibicara dipinggirkan dalam hal hal yang remeh ini? Dimana realiti dalam mendukong rakyat didahulukan?

Semoga persoalan ini dapat merobek pengurusan atasan Pos Malaysia.



TENGKU MAN
Pandan Indah