Tuesday, June 19, 2012

SYOR SISTEM PENDAFTARAN PENUNTUT BARU UiTM MERBOK, KEDAH DI PERTINGKATAN

Kelmarin saya mendaftarkan anak saya di UiTM cawangan Merbok, Kedah setelah memandu lebih dari lima jam dari Kuala Lumpur. Jangkaan saya, proses pendaftaran akan lebih efisen dan efektif kerana semua maklumat penuntut telah dimasukkan didalam sistem "online" sebelum  hari pendaftaran dan sebelum surat tawaran boleh di cetak oleh bakal penuntut.

Malangnya, jangkaan saya meleset kerana semasa hari pendaftaran penuntut diberi borang-borang untuk di isi maklumat peribadi dan sebagainya yang sama seperti yang di masukkan dalam sistem "online". 

Secara rasionalnya, pihak pentadbiran UiTM tidak perlu meminta penuntut mengisi maklumat tersebut kerana semua maklumat itu telah berada dalam sistem induk dan boleh di muat turun dengan serta merta secara "online". 

Bagi pendapat saya, tujuan sebenar meminta penuntut mengisi maklumat-maklumat secara "online" untuk memudahkan proses dihari pendaftaran dan mendapatkan rekod pelajar tanpa kos tambahan seperti kos borang-borang yang diedarkan.

Perjalanan proses pendaftaran semasa hari pendaftaran dengan mengisi borang-borang bukan saja tidak mengikut hasrat seperti yang disebut di atas malah penuntut di minta berjumpa beberapa kakitangan dimerata bangunan dikawasan UiTM seperti di bangunan pendaftaran, Bangunan Akademik, Kesihatan, IT, Penyelaras Program, Hal Ehwal Pelajar  dan sebagainya. Bayangkan, bangunan serta kakitangan pentadbiran bukannya terletak berhampiran malah agak sukar bagi ibubapa atau penuntut untuk berjalan kaki dengan jarak yang jauh dalam cuaca yang panas.

Oleh itu, saya sarankan dimasa akan datang  pihak pentadbiran UiTM Merbok mengadakan "One Stop Centre" dimana dibawah bumbung yang sama semua perkhidmatan seperti pengambilan kunci bilik, penyerahan dokumen X-Ray, jadual waktu, pengambilan gambar penuntut, penyelaras program dan sebagainya bersedia tanpa memerlukan penuntut "menapak" disetiap tangga pejabat di UiTM Merbok, Kedah. Usul ini bukanlah baru atau asing malah dipraktiskan di universiti lain juga.

Secara peribadi saya amat khuatir, jika pendekatan serta minda pentadbiran universiti jauh ketinggalan terutama pengurusan dalaman sedangkan visi dan misi UiTM terlalu jauh untuk dicapai maka harapan untuk bersaing dalam arena  global akan terencat dan kaku.




TENGKU MAN
Pandan Indah