Thursday, December 23, 2010

SYOR PIHAK BERWAJIB MEMBUAT PEMERIKSAAN MENYELURUH SEMUA KENDERAAN AWAM.

Setiap kemalangan yang melibatkan kenderaan dan orang awam, pelbagai penemuan dilaporkan oleh Jawatankuasa yang di lantik. Antaranya, penemuan muatan atau penumpang berlebihan yang melanggar perakuan yang di syorkan oleh pembuat kenderaan tersebut. Al kisah kemalangan bas dua tingkat baru-baru ini di Cameron Highlands melapurkan bahawa bas tersebut di strukturkan untuk 19 penumpang tetapi ditambah tempat duduk mencapai sehingga melebihi 30 orang.

Oleh itu, apa jua angka ditambah, sudah tentu keseimbangan bas terutama semasa menuruni bukit tidak stabil di mana secara teorinya graviti akan berkumpul dibahagian hadapan dan sukar bagi pemandu untuk mengawal semasa mengambil selekoh serta kelajuan luarbiasa menuruni bukit.

Ironiknya, bas tersebut diperiksa mengikut jadual berkala oleh pihak berwajib. Persoalannya, bagaimana penambahan tempat duduk terlepas pandang oleh pihak yang dipertanggungjawab? Pemeriksaan berkala sepatutnya bukan sahaja tertumpu dengan "chasis engine", tayar, brek dan sebagainya tetapi perlu mengambil perhatian pengubahsuai struktur bas dan penambahan muatan.

Jika faktor faktor "dalaman" ini diperketatkan, maka siasatan selepas berlakunya kemalangan dapat menumpukan pula faktor faktor "luaran" seperti keadan jalanraya, sikap pemandu , cuaca, sabotaj atau sebagainya. Jadi kebarangkalian terlalu banyak punca berlakunya kemalangan dapat diperhalusi dan disenarai pendekkan. Malah masa siasatan dapat dijimatkan dan syor-syor penambahan baik prosidur lebih bersifat proaktif sebagai rujukan dalam pembinaan struktur kenderaan awam.


TENGKU MAN
Taman Pandan Indah

Wednesday, December 22, 2010

ISU PEMINDAHAN GURU PERLU DITANGANI SEGERA

Saya pernah memimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada sekitar tahun 1990an dahulu. Isu pemindahan guru, muatan beg yang berat dan sebagainya dibincangkan dalam Mesyuarat Agong setiap tahun dan Mesyuarat bulanan PIBG. Saya akui banyak isu isu seperti ini tidak dapat di selesaikan pada ketika itu hingga ke era tahun 2010.

Apa yang dapat saya lihat, sikap pengetua sekolah sebagai penasihat PIBG menghadkan perbincangan isu-isu yang berkaitan pemindahan guru guru menyebabkan isu-isu sebegini tidak dapat di selesaikan untuk jangka panjang. Dasar tidak mahu PIBG campur tangan dalam hal-hal kononnya bidang kuasa sekolah dan jabatan , tidak sebenarnya membantu sekolah dan jabatan dalam hal hal pengurusan logistik guru, pretasi murid dan dilema ibubapa.

Apabila perbincangan mengenai guru-guru di bahaskan, kebiasaan pengetua melihat dari perspektif polisi dan peraturan Jabatan dan Kementerian Pendidikan sedangkan apa yang mahu di ulaskan adalah kesan pemindahan guru mempunyai implikasi tahap pembelajaran dan pemahaman murid-murid terutama yang akan mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Arahan tukar guru dengan serta merta kesekolah lain kerana kebarangkalian kekurangan guru disekolah tersebut umumnya mempunyai rasional.

Dari perspektif Jabatan Pelajaran, ia adalah satu tindakan perlu bagi mempastikan murid-murid di sekolah yang kekurangan guru dapat belajar sebelum peperiksaan bermula. Sedangkan bagi ibubapa dan murid-murid di sekolah di mana guru tersebut sedang mengajar, ia adalah satu keputusan yang boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak mereka, kehilangan fokus dan keserasian antara guru dan murid-murid.

Oleh itu, pihak Kementerian dan Jabatan Pelajaran perlu melihat ibubapa dan guru-guru kelas adalah satu "aset" penting dalam pengurusan guru-guru dalam mendidik murid-murid kerana setiap perstrukturan organisasi, tempat mengajar dan sebagainya mempengaruhi emosi sesaorang dan memerlukan masa untuk berada dalam suasana atau "mood" yang baik.

Diharap pihak Kementerian, Jabatan Pelajaran dan pengetua dapat melihat secara positif idea dari pelbagai pihak supaya masalah penukaran guru dapat diselesaikan segera dan bukan memakan bertahun dan dekad tanpa kesudahan nya.


TENGKU MAN
Pandan Indah