Thursday, August 12, 2010

CADANGAN SYARIKAT MINYAK AMBIL ALIH SEMUA STESYEN MINYAK DARI PENGURUSAN PERSEORANGAN

Saudara Pengarang,

Sekiranya pemilik stesyen minyak berkeras tidak mahu membekalkan petrol untuk orang ramai selepas jam 10 malam setiap hari, saya cadangkan semua stesyen minyak yang dimiliki oleh syarikat minyak yang diuruskan oleh perseorangan masa kini perlu diambil alih dan diuruskan oleh pekerja syarikat minyak itu sendiri. Sebagai pengguna, saya merasa terhina kerana peluang perniagaan yang dirangsang oleh kerajaan satu ketika dulu memberi peluang kepada pengusaha perseorangan terutama bumiputra kini seolah-olah mereka ini tidak mahu lagi memikul sedikit kos dan risiko tanpa memikirkan tanggungjawab sosial dan perasaan terima kasih kepada rakyat dan kerajaan. Jangan pula ada dikalangan pengusaha yang sudah hidup sedikit mewah tidak mahu menguruskan kerja yang pulangannya tak berapa dan berisiko.

Jika benar wujudnya isu keselamatan yang kritikal pada lewat malam, saya cadangkan persatuan ini perlu memikirkan satu dana dikalangan ahli bagi memperuntukan kawalan tambahan disemua stesyen minyak selain mengharapkan rondaan pihak polis. Mengenai isu kekurangan pekerja waktu malam , pengusaha perlu memikirkan satu bentuk inisiatif tambahan kepada pekerja shif malam, perlindungan insuran dan kawalan tambahan yang dikawal selia oleh persatuan sendiri.

Pada pendapat saya, perkara ini masih boleh dibincangkan bersama kerajaan yang barangkali beberapa initiatif dapat ditawarkan oleh kerajaan. Keputusan menutup stesyen selepas jam 10 malam boleh menjejaskan ekonomi negara kerana kecairan wang dalam menjana ekonomi kita perlu berterusan setiap waktu dan sedikit kealpaan boleh memberi impak yang kurang baik kepada urusan ekonomi kita.

Pengusaha sepatutnya memberi tumpuan kepada urusan perniagaan dan bukan lena dengan kemaruk berpersatuan sehingga lupa teras perniagaan. Jangan pula mengunakan isu-isu yang sensitif dan tidak rasional semata-mata untuk berpolitik menjatuhkan rakan dalam persatuan itu sendiri. Saya harap isu ini hanya gimik politik dalam sepak terajang semasa pemilihan orang nombor satu persatuan itu baru-baru ini dan keputusan menutup stesyen minyak selepas jam 10 malam perlu ditarik balik.