Thursday, October 12, 2017

Buletin Mutiara sangkal dakwaan pinggir bahasa Kebangsaan Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/forum/buletin-mutiara-sangkal-dakwaan-pinggir-bahasa-kebangsaan

SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada surat pembaca disiarkan dalam ruangan Forum akhbar ini terbitan bertarikh 2 Disember 2013, bertajuk Buletin Mutiara: Bahasa Kebangsaan dipinggirkan?

Apa yang dinyatakan adalah tidak benar kerana Buletin Mutiara mempunyai keluaran khas berasingan. Dalam bahasa Malaysia sahaja setebal 28 muka surat tanpa digabung bersama dengan penerbitan bahasa-bahasa lain.


Penulis yang memperkenalkan diri sebagai 'Tengku Man' tidak menyatakan lokasi naskhah Buletin Mutiara diperolehnya.

Menerusi surat Tengku Man, adalah dimaklumkan bahawa naskhah yang diperoleh beliau Buletin Mutiara versi campuran yang mana isi kandungannya adalah laporan penulisan dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil dengan jumlah keseluruhan 22 muka.

Dua muka surat bahasa Malaysia yang dinyatakan adalah muka surat info (muka surat tengah) yang membekalkan maklumat-maklumat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senarai telefon kecemasan untuk rujukan umum dan program-program pelancongan semasa.




Baiki akses ke lebuh raya

APA yang saya dapat perhatikan kesesakan lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di antara Nilai ke Tol Senawang dan Tol Senawang ke Nilai amat kritikal terutama pada musim perayaan atau musim cuti sekolah.

Oleh itu, diharap pihak PLUS dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dapat membuat kajian serta mempercepatkan serta meningkat jalan yang sedia ada kepada lebuh raya bertingkat menyambung susur keluar Plaza Tol Senawang ke persimpangan jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Lavender Height.


Dengan adanya penyambung lebuh raya dari Plaza Tol Senawang ke persimpangan jalan Seremban-Kuala Pilah, pengguna kenderaan mempunyai pilihan ketika waktu puncak sama ada meneruskan perjalanan dari persimpangan Senawang ke utara melalui PLUS atau melalui susur keluar Plaza Tol Senawang menuju ke persimpanan Jalan Seremban-Kuala Pilah untuk meneruskan perjalanan melalui lebuhraya Lekas.

Ketika musim perayaan dan cuti sekolah, susur keluar Plaza Tol Senawang mengalami kesesakan yang luar biasa kerana banyak kenderaan memasuki Plaza Tol Senawang untuk mendapatkan lebu raya Lekas.

Ketika ini lorong dan jalan raya menuju ke persimpangan Seremban-Kuala Pilah dari Plaza Tol Senawang tidak dapat menampung lempahan kenderaan yang berpusu-pusu masuk melalui susur keluar Senawang.

Tambahan pula, jalan raya antara Plaza Tol Senawang ke persimpangan Jalan Seremban - Kuala Pilah yang anggaran 10 kilometer mempunyai banyak lampu isyarat yang menyumbang kesesakan yang luar biasa.

Dengan adanya jalan atau lebuh raya bertingkat di antara persimpangan Plaza Tol Senawang ke Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Levender Height, aliran kenderaan akan lebih bersusun kerana jalan sedia ada boleh digunakan oleh penduduk tempatan dan jalan bertingkat digunakan oleh penguna kenderaan dari luar.

Diharap juga, pihak PLUS dapat mengkaji jalan empat lorong yang dalam pembinaan sekarang dapat di sambung sehingga ke persimpangan Plaza Tol Senawang dan bukan setakat persimpangan Plaza Tol Port Dickson untuk memenuhi jaringan penyeluraian kenderaan.

TENGKU MAN

Pandan Indah




Wujudkan sistem grid untuk air di Malaysia

Dalam suasana ketirisan bekalan dan pengurusan air kepada penguna dijadikan sumber modal perbalahan politik, saya terpanggil untuk mengemukakan cadangan sistem pengurusan air mengunakan konsep sistem grid bekalan elektrik yang terbukti lebih praktikal dan efisen.

Jika sistem bekalan elektrik melalui peringkat penjanaan, penghantaraan dan pengagihan maka sistem bekalan air juga boleh melalui peringkat tadahan dan rawatan, penghantaran menggunakan pembentungan kekawasan tadahan skala sederhana dan pengagihan dikawasan perumahan serta industri yang meliputi semua negeri-negeri di Malaysia.


Ini bermakna, punca air yang bermula dari pertengahan banjaran Titiwangsa mengalir ke pantai timur dan ke pantai barat Semenanjung dapat disalurkan, tadah, rawat serta agih mengikut sistem grid bersepadu.

Penghantaran bekalan air ini akan melalui pembentungan bawah tanah seperti penyaluran gas dari Teluk Kalong, Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung.

Bagi merealisasikan impian ini, pengurusan fasiliti perlu ditadbirkan oleh sebuah syarikat yang berwibawa dan semua kerajaan negeri samada diperintah oleh pembangkang perlu memberi laluan demi kepentingan rakyat dan negara. Sekira ada akta yang mengengkang cadangan ini maka perkara tersebut perlu di bincangkan di peringkat Parlimen supaya tiada kecacatan semasa pengurusan dan pengagihan bekalan air.

Dengan adanya permuafakatan dan sistem bersepadu bagi mengurus, merawat serta pengagihan bekalan air, diharap tiada satu pun negeri di negara ini kekurangan air teruatama di musim kemarau.

Mengambil contoh pengurusan bekalan air di negara-negara Timur Tengah yang sentiasa kemarau tetapi berada di musim sejuk yang singkat, pengurusan salji di waktu musim sejuk di kawah-kawah gunung-ganang perlu dipuji kerana mereka berjaya mengurus, menjana dan menyimpan air untuk kegunaan harian semasa musim panas yang panjang.

Semoga rakyat Malaysia dapat mengamalkan budaya dan berfikiran positif dalam membantu kerajaan sama ada di peringkatan Persekutuan mahupun negeri.

TENGKU MAN

Pandan Indah




Jenayah ragut: Apa kesudahannya?

KIRA-KIRA tujuh tahun lalu isteri saya diragut beg dan barang kemas sebanyak dua kali semasa berjalan kaki di antara Jalan Pandah Indah 14 ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah.

Saya juga pernah melihat kes ragut di hadapan rumah saya di taman perumahan sama. Begitu juga, saya dimaklumkan mengenai pe-ningkatan kes ragut dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.


Saya percaya setiap kes ragut di kawasan tersebut telah dilaporkan serta rondaan polis di buat dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini tersebar kisah dimana seorang gadis dicederakan dengan tangannya ditetak semasa meragut beg beliau.

Persoalannya, setakat mana keberkesanan seseorang individu berjaga-jaga, penduduk dan sukarelawan mengawal kawasan di setiap masa dan penjuru taman secara efisien?

Bagi pihak polis pula, keberkesanan pemantau dan rondaan di kawasan tugasan yang agak luas untuk tindakan secepat mungkin.

Apa yang kekurangan kini adalah kesepakatan untuk bekerjasama di antara penduduk, orang awam dan pihak berkuasa. Begitu juga mencari mekanisme secara efektif untuk membendung jenayah ini yang berlarutan dan semakin merbahaya.

Dalam lawatan saya ke Guang Zhou, China sedikit masa lalu, saya perhatikan pemantauan terhadap laluan orang awam ialah melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di laluan orang awam yang dipantau terus kepada pihak berkuasa berhampiran.

Oleh itu saya sarankan setiap laluan orang awam terutama di tepi jalan atau lorong ke arah stesen pengangkutan awam seperti LRT dan bas atau teksi perlu dipantau dengan CCTV yang disambung terus ke balai atau pondok polis berdekatan atau pondok komuniti atau pengawal penduduk kawasan tersebut.

Dengan sistem CCTV yang berkualiti serta pencahayaan lampu yang terang di laluan tersebut, sebarang ancaman dapat dikenal pasti, pengecaman suspek senang dikenal pasti serta memperoleh barang bukti yang jelas.

Saya percaya inisiatif ini dapat perhatian pihak berkuasa tempatan serta penduduk tempatan pula dapat memberi sumbangan sama ada daripada segi kos, masa dan tenaga untuk kerja pemantauan dari pondok-pondok pengawal tersebut.

Begitu juga, pihak berkuasa se-

perti polis dan majlis tempatan dapat membuat kekerapan rondaan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes jenayah ragut dan ugut.

Diharap pemantauan secara kolektif antara pihak berkuasa tempatan seperti majlis perbandaran, pihak polis dan penduduk tempatan dapat membendung kes ragut yang semakin meningkat.

TENGKU MAN

Pandan Indah




Cadangan agihan subsidi minyak cetus salah guna MyKad

Walaupun cetusan idea pemberian subsidi melalui MyKad ini baru diperdebatkan, saya begitu sangsi dengan perlaksanaan idea ini yang menjurus kepada perlaksanaan yang kucar-kacir terutama pengunaan MyKad orang lain.

Rata-rata masyarakat Malaysia belum begitu matang malah agak sensitif penarikan    subsidi  yang mengakibatkan mereka menampung kesemua kos bahan api. MyKad individu  berpendapatan rendah akan disalahgunakan oleh rakyat golongan  pendapatan tinggi.


Contoh yang mudah untuk menerangkan fenomena ini ialah antara ayah atau anak yang  berpendapatan yang tinggi mengunakan MyKad ibu atau ayahnya dalam golongan pendapatan rendah.
Bagaimana mekanisma ini menunjukkan keadilan dan kredibiliti kerajaan?

Barangkali ada hujah mengatakan kita perlu beretika.

Persoalannya apakah pencapaian nilai etika masyarakat Malaysia sudah ditahap matang?

Jadi, saya berpendapat kerajaan perlu membuat kajian yang lebih praktikal dan adil dengan melantik pihak yang neutral dan berwibawa secara ilmiah sebelum membuat keputusan yang boleh  merendahkan imej kerajaan.

Melantik beberapa universiti atau kolej di Malaysia untuk membuat penyelidikan secara  neutral boleh memberi input yang baik kepada kerajaan.
Kerajaan tidak boleh bergantung dengan hasil penyelidikan dari agensi-gensi kerajaan kerana  sejak kebelakangan ini kajian tersebut terlalu bias yang rata-rata tidak mewakili inspirasi matlamat Kerajaan Persekutuan.
Diharap kementerian serta agensi kerajaan yang lain lebih peka dengan mencari mekanisme   terbaik untuk mencari keadilan yang tidak banyak  mengunakan penguatkuasaan dari segi bilangan  anggota, masa dan tindakan.

TENGKU MAN
Pandan Indah




Baiki prosedur 
pembaharuan permit kerja

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini saya membuat permohonan untuk memperbaharui permit kerja pembantu rumah di kaunter Imigresen Seremban.


Saya dimaklumkan oleh petugas kaunter tersebut pembaharuan permit kerja berkenaan hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui MyEG.

Saya juga memaklumkan kepada petugas terbabit bahawa ada keperluan permit kerja diperbaharui bagi memudahkan urusan perjalanan umrah.

Apabila saya pulang ke rumah dan membuka laman web MyEG, saya mendapati syarikat itu tidak menerima permohonan membaharui permit kerja sekiranya permit tersebut mempunyai baki lebih dari dua bulan. Permit pembantu rumah kami masih berbaki empat bulan.

Dalam masa sama, permohonan visa pembantu rumah kami di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memerlukan permit kerja berbaki sekurang-kurangnya enam bulan.

Jika kurang enam bulan, Kedutaan Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa perjalanan. Jadi, sebagai rakyat biasa, kami tersepit di antara kedua-dua keperluan ini.

Oleh itu, pertamanya, disarankan pihak yang bertanggungjawab bermuafakat untuk tidak menyukarkan orang ramai kerana terpaksa datang semula ke kaunter Imigresen setelah permohonan melalui laman web MyEG ditolak.

Kedua, pihak Imigresen perlu mempunyai pegawai yang berpengetahuan dan berkebolehan mengendali kes-kes terpencil di kaunter kerana permohonan secara rutin telah diambil alih oleh MyEG.

Pegawai terbabit harus sentiasa mempunyai sikap ingin membantu dan bersedia menerangkan kepada orang ramai pilihan-pilihan lain bagi membolehkan permohonan permit kerja diteruskan dan bukan terhenti begitu sahaja.

TENGKU MAN

Senawang



Mahu Sains kemas kini dokumen perjanjian air

BARU-BARU ini saya meminta salinan perjanjian bekalan air antara saya dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Malangnya, pihak Sains memaklumkan bahawa kononnya perjanjian kini adalah berdasarkan terma dalam borang permohonan pada tahun berkenaan (2007).


Sehingga kini saya tidak mendapat apa-apa bukti penerimaan daripada permohonan tersebut untuk dijadikan asas perundangan sebagai satu kontrak antara saya dengan pihak Sains walaupun bekalan air dibekalkan sejak 2007.

Tanpa memberi salinan kontrak yang menjadi asas perundangan ‘penerimaan dan tawaran’, saya khuatir tindakan tidak popular seperti pemotongan air oleh pihak ketiga Sains ke atas pengguna boleh dicabar serta dipertikaikan di mana-mana mahkamah.

Apatah lagi syarikat bekalan air itu beroperasi menjurus kepada konsep monopoli yang terikat dengan Competitive Act 2010.

Kandungan kontrak seperti terma jaminan bekalan berterusan, spesifikasi kualiti air mengikut perundangan antarabangsa serta proses sebelum melakukan tindakan pemotongan perlu didokumenkan dalam perjanjian dan bukannya sekadar peringatan di dalam bil-bil air.

Segala peringatan perlu merujuk terma yang disebut dalam kontrak yang mana sehingga ini tiada bukti kontrak untuk dipegang.

Sebagai syarikat yang telah diswastakan, pengurusan Sains perlu dilihat sebagai sebuah syarikat yang profesional, kompeten, integriti dan bertanggungjawab.

Masalahnya, sejak saya berurusan dengan Sains sejak 2015, banyak kecelaruan serta tidak konsisten dalam hal berkaitan prinsip. Ini dapat dilihat apabila Sains mengendalikan soalan-soalan asas yang dikemukakan secara e-mel dan surat menyurat.

Berkaitan masalah itu, saya mahu mengesyorkan agar pemeriksaan berkala serta pemantauan dilakukan pihak Jabatan Air Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ke atas semua syarikat bekalan air swasta di negara ini.

TENGKU MAN

Senawang



Syor pasang palang getah di garisan berkembar

GARISAN berkembar dikenal pasti antara punca berlakunya kemalangan maut di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, Negeri Sembilan setiap tahun.

Baru-baru ini, dua sahabat baik maut dalam tragedi ngeri apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki mangsa terbelah dua setelah bertembung dengan sebuah Perodua MyVi dari arah bertentangan di sekitar kawasan sama. Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi itu turut menyebabkan empat orang cedera parah.


Selain kelalaian pemandu mematuhi amaran papan tanda, faktor garisan berkembar di tengah jalan raya menuruni cerun bukit dari Ulu Bendul ke persimpangan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) juga boleh mendorong keinginan ‘jahat’ pemandu untuk memotong kenderaan depan dan seterusnya bertembung dengan kenderaan lain yang sedang mendaki.

Keinginan sama dirasai saya sewaktu melalui jalan tersebut. Pada kebiasaannya, pemandu merasakan mereka boleh melepasi kenderaan depan ketika memotong garisan berkembar sewaktu menuruni bukit. Hakikatnya kenderaan dari arah depan juga laju pada masa sama. Ini menyebabkan kenderaan tadi gagal memotong dan bertembung kereta dari arah bertentangan.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, saya sarankan pihak bertanggungjawab memasang palang getah secara tetap di sepanjang garisan berkembar terutamanya di kawasan berisiko bagi mengelak kenderaan memotong dan masuk di jalan bertentangan.



TENGKU MAN

Senawang




KTMB jawab Tengku Man

Saudara Pengarang,

SURAT Tengku Man, Seremban bertajuk Syor KTM bina stesen komuter di Sungai Gadut elak kesesakan di ruangan ini pada 12 Julai 2002 adalah berkaitan.

Beliau mencadangkan KTMB membina satu lagi stesen komuter di Seremban iaitu di Sungai Gadut bagi mengelakkan kesesakan di bandar Seremban.

KTMB mengucapkan terima kasih dan akan mengambil kira cadangan tersebut dalam perancangan kami pada masa akan datang.

Buat masa ini, perkhidmatan komuter belum dapat beroperasi di Sungai Gadut kerana laluan tersebut tidak mempunyai sistem elektrifikasi dan landasan berkembar, yang merupakan dua komponen penting dalam sistem operasi tren elektrik, KTM Komuter.

KTMB memang berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan komuter ke Sungai Gadut.

Ini hanya dapat direalisasikan apabila Projek Landasan Berkembar dan Elektrifikasi dilaksanakan bagi sektor Seremban Johor Bahru sebagaimana yang diumumkan oleh pihak kerajaan.

Malah KTMB juga bercadang untuk memberi keutamaan dalam melaksanakan projek tersebut di sektor Seremban Sungai Gadut. Diharap Tengku Man dan para pengguna komuter di kawasan Seremban dapat bersabar sehingga sistem KTM Komuter dapat diperluaskan ke Sungai Gadut.

KTMB sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatannya demi keselesaan para penumpang. Untuk itu, segala cadangan dan komen adalah dialu-alukan.

Diharap Tengku Man akan terus menggunakan perkhidmatan kereta api.


- AZIZAH UJANG, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB.




Haramkan bina kilang dekat kampung dan sungai

SAUDARA PENGARANG,

DARIPADA pengamatan saya, kilang-kilang yang beroperasi di hulu sungai dan di kawasan kampung amat sukar untuk mematuhi piawai pencemaran air dan bunyi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sekali gus boleh menjejaskan alam sekitar dan ketenteraman hidup penduduk tempatan.


Lazimnya kehidupan di sebuah perkampungan pada aman, sunyi, tenang dan semuanya ini sesuai dengan sifatnya yang mendamaikan. Ketenangan inilah yang memikat kami sebagai anak desa untuk terus pulang ke kampung selain faktor menjenguk ibu bapa tercinta.

Malangnya, kedamaian tersebut dirosakkan dengan pencemaran bunyi dan alam sekitar gara-gara wujudnya sebuah kilang sawit yang beroperasi di hulu sungai. Ternyata kilang yang didirikan itu tidak mematuhi setiap undang-undang yang ditetapkan.

Mereka beroperasi sesuka hati dan saya difahamkan pelbagai amaran serta denda dikeluarkan kepada pemilik kilang terbabit. Bagaimanapun mereka tetap meneruskan operasi kerana hasil keluaran kilang itu dikatakan menguntungkan. Atas sebab itu, mereka tidak serik membayar sejumlah besar denda yang dikenakan.

Kilang sawit yang dimaksudkan ini didirikan di pinggir sebuah kampung di Gemencheh, Tampin. Disebabkan terlalu banyak aduan, pihak berkuasa terpaksa memantau operasinya setiap masa bagi memastikan operasi mematuhi syarat-syarat piawaian pencemaran yang ditetapkan.

Pada hemat saya, pemantauan sebegini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kilang tersebut didirikan di kawasan yang sesuai serta terancang dan bukannya di kawasan kampung atau penempatan penduduk.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa perlu lebih bertegas iaitu dengan tidak membenarkan kilang didirikan di kawasan penempatan atau berhampiran dengan penempatan. Kilang juga tidak wajar dibina berhampiran kawasan sungai bagi mengelakkan pencemaran.

Justeru sebarang permohonan untuk membina kilang sama ada di kawasan penempatan atau sungai wajib ditolak oleh pihak berkuasa. Jangan disebabkan operasi sebuah kilang penduduk pula yang akhirnya menjadi mangsa.


TENGKU MAN
Senawang




Saran 
kilang 
tawar pegangan saham

SAYA berasa terpanggil untuk mencadangkan pemilik kilang dari syarikat berstatus sendirian berhad menawarkan sejumlah pegangan saham kepada koperasi penduduk tempatan, di mana kilang syarikat itu beroperasi.

Selain dapat menjalin kerjasama dengan ahli-ahli koperasi terutama dalam menyelia operasi harian kilang serta mematuhi undang-undang sedia di kawasan itu, penglibatan syarikat berkenaan juga dijangka dapat menikmati sebahagian limpahan pembangunan kampung.


Ini termasuk menambah pendapatan dividen dan bonus ahli koperasi.

Walaupun mendapat kelulusan daripada agensi-agensi kerajaan namun ketika ini, syarikat terbabit dilihat seperti sesuka hati masuk ke kawasan kampung dan mendirikan kilang tanpa melibatkan apa-apa penyertaan daripada penduduk di kawasan itu.

Jika ada pun, kebiasaannya pegangan saham ditawarkan kepada individu berpengaruh di dalam kawasan Parlimen atau individu yang mewakili penduduk di kawasan pilihan raya sahaja.

Diharapkan saranan itu dapat digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia untuk mencari mekanisme terbaik agar dapat merealisasikannya.

TENGKU MAN

Senawang




Terganggu bunyi bising kantin klinik

audara Pengarang, SAYA ingin membuat sedikit teguran berkenaan bunyi bising dari arah kantin yang terletak bersebelahan dengan makmal darah Klinik Kesihatan Senawang.

Bunyi bising yang dimaksudkan ialah suara terpekik pengusaha kantin dan pekerjanya ketika mengendalikan tempahan makanan dan minuman pelanggan. Keadaan hingar-bingar seperti di ‘bursa saham’ itu sangat mengganggu ketenteraman pesakit yang sedang menunggu giliran untuk membuat rawatan.


Saya amat berharap pihak pengurusan Klinik Kesihatan Senawang dapat membuat sesuatu atau setidak-tidaknya memberi nasihat kepada pengusaha kantin itu agar mematuhi adab dan etika perniagaan di kawasan klinik.

TENGKU MAN

Senawang




Kecewa dengan servis MyEG

BARU-BARU ini saya berdepan dengan masalah untuk memperbaharui visa pembantu rumah di pejabat MyEG Putrajaya.

Bayangkan sehingga hari ke-23 (surat kepada Forum Utusan Malaysia pada 20 Jun 2017), kelulusan visa daripada pihak Imigresen masih belum diperoleh sedangkan pembantu rumah saya perlu pulang ke negaranya untuk berhari raya.


Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membuat beberapa panggilan telefon dan e-mel kepada Ibu pejabat MyEG namun respon diterima cenderung mengatakan permohonan dibuat tidak mengikut prosedur sebagai alasan.

Pada saat kritikal mereka meminta saya mengemukakan salinan tiket penerbangan pembantu rumah pula, kononnya sebagai dokumen tambahan bagi memberi tekanan kepada pihak Imigresen meluluskan visa. Ironinya, arahan sama tetap diberi biarpun saya telah menghantar salinan tiket penerbangan beberapa kali ke e-mel MyEG.

Peliknya, semasa proses permohonan memperbaharui permit di pejabat MyEG Putrajaya pada 6 Mei lalu, tiada pula apa-apa maklumat atau dokumen yang diminta. Untuk makluman, pembayaran caj levi dan caj proses telah pun dibayar pada hari permohonan pembaharuan visa. Apakah bayaran dibuat tidak melayakkan saya mendapat perkhidmatan sewajarnya?

Bagi mengelak kompetensi perkhidmatan MyEG dipertikaikan pada masa depan, saya sarankan pihak kerajaan melalui agensi dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan kontrak perkhidmatan dengan MyEG.

TENGKU MAN

Pandan Indah




PLKS: Kembalikan kepada imigresen

SAYA tertarik dengan tulisan TENGKU MAN dari Pandan Indah yang disiarkan ruangan Forum Utusan Malaysia pada 22 Jun 2017 berkaitan kekecewaannya dengan perkhidmatan MyEG baru- baru ini.

Untuk pengetahuan semua sejak tahun lepas, tugas memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing telah diuruskan oleh syarikat MyEG Services Berhad (MyEG). Sejak itu juga perkhidmatan awam Jabatan Imigresen seluruh negara telah dipindahkan secara terus kepada syarikat tersebut.


Seperti yang kita sedia maklum, syarikat MyEG ini ditugaskan untuk memperbaharui permit pekerja asing bagi mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter Jabatan Imigresen seluruh negara bagi urusan memperbaharui permit pekerja asing yang diambil bekerja ke negara ini.

Bagaimanapun, keadaan yang diharapkan tidak berlaku sebaliknya perkhidmatan yang melibatkan syarikat MyEG ini gagal berfungsi dengan berkesan. Malah perkhidmatan yang disediakan dengan bilangan kakitangannya yang terhad hanya terdapat di ibu pejabat MyEG di Jalan Damansara.

Apa yang boleh saya katakan, pengalaman memperbaharui permit pembantu rumah di MyEG sebelum ini amat sukar bahkan lebih teruk berbanding di Jabatan Imigresen sendiri.

Setidak-tidaknya, di Jabatan Imigresen, pelanggan hanya perlu menunggu kurang setengah jam bagi setiap urusan selepas mendapatkan nombor giliran.

Di kaunter Jabatan Imigresen kita hanya perlu berikan pasport pekerja dan buat bayaran. Kemudian tunggu pengesahan serta akuan rasmi daripada pihak imigresen. Setelah itu pelekat PLKS atau permit pekerja akan ditampalkan pada pasport. Semuanya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Tidak memakan masa berhari-hari pun.

Berbanding langkah memperbaharui PLKS di MyEG, setelah beberapa kali mendaftar secara dalam talian, beberapa kali juga sistem tidak dapat mengesan nombor pasport pekerja dan setiap maklumat yang dipinta.

Mahu tidak mahu, akhirnya majikan terpaksa ke kaunter utama syarikat tersebut di Jalan Damansara. Setelah mengambil giliran dan menunggu dengan purata waktu selama sejam lebih, urusan pembayaran akan dibuat di sana secara dalam talian.

Malangnya, majikan harus pulang ke rumah dahulu dan beberapa hari kemudian barulah pelekat akan dicetak dan ditampalkan pada pasport pekerja. Di sini majikan diberikan pilihan sama ada wakil mereka (MyEG) akan menghantar di pejabat atau di rumah pada waktu bekerja ataupun perlu hadir sekali lagi untuk tujuan menampal pas pelekat permit berkenaan. Yang pasti, prosedur ini memakan masa cukup lama.

Akhirnya, proses urusan PLKS yang dikendalikan oleh MyEG bukanlah sesuatu yang memudahkan malah memakan masa sehingga dua minggu berbanding kurang sejam di Jabatan Imigresen. Bagi saya Jabatan Imigresen tentu lebih berhak menyimpan dokumen dan maklumat rasmi ini (maklumat pekerja asing) atas faktor keselamatan negara.

Secara peribadi saya amat bersetuju sekiranya perkhidmatan ini tidak lagi dimonopoli oleh MyEG yang dilihat tidak kompeten terutama dalam menguruskan dokumen rasmi kerajaan antaranya urusan memperbaharui PLKS.

Oleh itu, saya syorkan perkhidmatan memperbaharui PLKS dikembalikan semula kepada Jabatan Imigresen yang terbukti lebih cekap menguruskan proses dokumentasi ini selain mempunyai cawangan di seluruh negara.

Ditambah lagi Jabatan Imigresen kini telah dilengkapi dengan beberapa prasarana yang telah dibangunkan bertujuan bagi memudahkan lagi urusan jabatan tersebut dengan orang awam. Oleh itu tiada lagi paksaan secara mandatori untuk kita memperbaharui PLKS pembantu rumah mereka di sebuah syarikat swasta yang tidak kompeten lagi memakan masa pelanggan.

FAIZAL MUHD FAXEL WEL

Petaling Jaya




Semak semula SOP di klinik

BARU-BARU ini saya mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Senawang. Selepas membuat pendaftaran di kaunter, saya menunggu seketika sebelum dipanggil oleh jururawat bertugas bagi tujuan mengambil bacaan berat badan dan tekanan darah di bilik berdekatan.

Setelah selesai, saya diminta membawa sendiri rekod perubatan ke bilik doktor yang kedudukannya lebih kurang 10 meter dari bilik jururawat berkenaan. Apabila sampai di bilik doktor, saya diminta pula meletakkan rekod tersebut ke dalam kotak yang disediakan di tepi pintu masuk bilik doktor tersebut.


Setelah dipanggil, saya masuk untuk bertemu doktor. Namun saya telah diarahkan oleh doktor berkenaan (yang sedang duduk di kerusinya) agar berpatah balik untuk mengambil rekod perubatan saya di tepi pintu masuk biliknya bagi diserahkan kepada beliau.

Sebagai seorang pesara korporat yang biasa menerima rawatan di klinik swasta pada kebiasaan rekod perubatan pesakit akan dihantar terus oleh jururawat kepada doktor bertugas kerana rekod tersebut adalah dokumen penting untuk dianalisis dan diteliti sebelum doktor memanggil pesakit masuk ke dalam biliknya.

Kemusykilan saya, adakah proses ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan atau mengikut kebiasaan budaya kerja di klinik kesihatan tersebut?

Secara peribadi saya mengharapkan perkhidmatan rawatan kesihatan yang berkualiti. Bagaimanapun agak malang perkara ini tidak berlaku di klinik berkenaan. Sungguh menghairankan seorang doktor muda yang sihat dan bertenaga meminta seorang pesakit yang barangkali uzur membawa rekod perubatan kepadanya.

Oleh itu, saya sarankan pihak kementerian berkenaan menyemak semula budaya kerja seumpama ini.

TENGKU MAN

Senawang




Operasi bersepadu elak rasuah

Saudara Pengarang,
OPERASI bersepadu antara agensi-agensi penguat kuasa adalah salah satu cara terbaik untuk mengatasi persepsi negatif orang awam tentang gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam semasa mereka menjalankan tugas menahan dan memberi kompaun kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

Tujuannya adalah untuk mengurangkan atau mengelak risiko wujudnya unsur memberi dan menerima rasuah dalam kalangan mereka ketika menjalankan tugasan seperti yang didakwa berlaku jika penguat kuasa bersendirian atau dalam sepasukan agensi yang sama.


Ini melibatkan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ada menyarankan anggota polis tidak dibenarkan menahan orang awam atau membuat sekatan jalan raya secara bersendirian tanpa pengawasan daripada agensi lain bagi membendung persepsi umum boleh menawarkan rasuah kepada anggotanya.

Beliau menyarankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain perlu dijadikan asas kepada pendekatan yang positif di mata orang awam untuk menaikkan kembali imej pihak berkuasa.

Ini satu kenyataan yang berani daripada seorang yang dididik menjalankan penguatkuasaan (compliance & enforcement) di mana faktor pengawasan dalaman secara counter-check dipraktikkan supaya tiada seorang pun anggotanya cuba meminta atau ditawarkan sogokan daripada orang awam.

Pada 22 Julai lalu, saya terserempak dengan beberapa orang anggota polis yang membuat sekatan menahan kenderaan seperti motosikal, kereta dan lori di Jalan Tuanku Jaafar Utara menghala ke kawasan perindustrian Senawang, Negeri Sembilan.

Dalam pemerhatian saya, perlakuan antara anggota polis dengan orang awam ketika itu agak mencurigakan dan jika tidak diawasi oleh anggota dari agensi penguatkuasaan lain mungkin berisiko terdedah kepada rasuah.

Kaedah operasi bersendirian yang diwarisi sejak zaman berzaman memerlukan satu penilaian semula yang berani bagi mengurangkan kebimbangan Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan.

Oleh itu, pihak pengurusan atasan trafik di Seremban mahupun di daerah dan negeri lain perlu memperhalusi kebimbangan tersebut dengan melihat, mengkaji dan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) khususnya aspek sebarang operasi yang berkemungkinan menjejaskan lagi imej penjawat awam.

TENGKU MAN
Senawang, Negeri Sembilan




Pencarian MH 370

Saudara Pengarang,

Dari pembacaan, pemahaman sumber kitab, artikel serta gerak hati saya, pencarian  pesawat MAS MH370 juga perlu diperluaskan ke kawasan banjaran Everest kerana kemampuan kapalterbang tersebut boleh sampai  dan mendarat dikawasan bersalji dikaki pergunungan tersebut.

Oleh itu, diminta kerjasama Kerajaan India dan Nepal serta negara  jiran mereka dapat meronda dikawasan lapang yang disaluti salji. Semoga telahan diluar kotak pemikiran ini dapat diterima oleh  pasukan  pencari serta para pakar kapal terbang  untuk di pertimbangkan sekiranya kebuntuan masih berlarutan.


SYOR AMAH BEKERJA DENGAN SYARIKAT DIMANA "MAJIKAN" BEKERJA.

Saudara Pengarang,

Cerita mengenai amah nampaknya tiada kesudahan. Diperingkat tertinggi membincangkan dari segi semangat dan kerjasama jangka panjang tetapi sebaliknya diperingkat perlaksanaan tidak pula mengambil kira semangat atau dasar yang telah dipersetujui diperingat tertinggi.

Apa yang ingin saya terokai di sini adalah syor syarikat-syarikat tempatan atau persatuan penduduk mengambil alih pengurusan amah amah dari luar negara sebagai majikan kepada pekerjanya.

Dengan cara ini, amah-amah tersebut akan ditawarkan berkerja dan membuat kerja yang spesifik bagi menepati kemahuan pihak negara pembekal. Contohnya, seorang amah akan menjaga lima anak kecil dan seorang amah lagi memasak. Sekiranya memerlukan lebih banyak aktiviti di rumah pengasuh dan jumlah anak-anak untuk dijaga maka lebih ramai amah diperlukan.

Maknanya, satu amah membuat kerja yang sama tetapi menjaga lima orang anak-anak dan seorang lagi amah membuat kerja memasak sahaja untuk sepuluh orang dan sebagainya. Kaedah ini lebih menjimatkan terutama keluarga yang kurang berkemampuan. Malah menepati apa yang dikehendaki oleh pihak pembekal seperti negara Indonesia. Upah dibayar oleh ibubapa setiap bulan kepada majikan dan majikan akan membayar gaji kepada amah-amah tersebut.

Formula ini barangkali boleh diguna pakai kepada warga emas yang memerlukan tempat dan suasana yang baik dipenghujung usia mereka bagi mengelakkan sindrom kemurungan dan kemuraman. Dengan mewujudkan Pusat Penjagaan Warga Emas yang serba moden dengan dilengkapi dengan surau, pusat kesihatan,chalet untuk keluarga pelawat dan sebagainya , saya percaya "pusat terapi" sebegini dapat diterima oleh keluarga yang mempunyai masaalah penjagaan ibubapa.

Barangkali konsep ini memerlukan pemikiran diluar kotak serta pengorbanan budaya dan amalan bagi mempastikan permasalahan keluarga generasi ke generasi dapat diurus secara profesional dan berhemah samada pewaris maupun warga emas yang mahu me nikmati taraf hidup dan kesihatan yang sihat dan sempurna.



TENGKU MAN
Pandan Indah
Kuala Lumpur

SYOR KAJI PERLEMBAGAAN FAM YANG TIDAK DEMOKRATIK.

Saudara Pengarang,


Kenyataan media Presiden Bolasepak Negeri Sembilan mengenai proses perjalanan mesyuarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat keputusan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia perlu dihalusi dengan membuat perubahan seperti dibawah.


1. Pengerusi mesyuarat perlu mengelak bersifat diktator dan tidak terbawa-bawa dengan latarbelakang sebagai penguatkuasa dan pernah memegang kuasa. Sukan adalah satu hiburan dan bukan mencari keuntungan atau tempat cari makanan atau kemewahan diri sendiri.


2. Ahli Jawatankuasa perlu mewakili beberapa negeri dan bukan di monopoli oleh sesebuah negeri. Dengan cara ini, dapat mengelakkan sikap "bias" secara spontan semasa mesyuarat berlangsung. Mengikut ilmu saikologi, sekiranya perkara atau perlawanan itu tidak memberi impak kepada negerinya, mereka tidak menyuarakan perkara-perkara yang sangsi atau untuk perhatian rakyatnya tetapi barangkali lebih memberi tumpuan bakal kemewahan hasil dari perlawanan itu untuk peribadinya.


Sekiranya, keputusan itu melibatkan rakyat atau penyokong negerinya, mereka akan bersuara dengan pelbagai alasan untuk mengurangkan kos yang ditanggung oleh rakyat dan penyokong yang kononnya rata-rata berpendapatan rendah.


3. Barangkali sudah sampai masanya perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan FAM perlu di kaji semula termasuk pemilihan personaliti bakal ahli jawatankuasa yang lebih tinggi nilai setiakawan, berwibawa, berwawasan serta "zero controversial" yang boleh diterima oleh pelbagai generasi dan peringkat. Disamping perkara-perkara yang tidak demokratik di dalam perlembagaan FAM di kaji dan di hapuskan.

Setiap Jawatankuasa tersebut perlu diadakan penanda aras (KPI) dan akan di bubarkan sekiranya setiap keputusan jawatankuasa ini banyak mengundang kontroversi.

Oleh itu, Jawatankuasa FAM perlu di rombak mewakili pelbagai negeri dan displin supaya ia mencerminkan satu jawatankuasa yang berwibawa dan boleh membuat keputusan yang di terima oleh majoriti peminat-peminat sukan bolasepak.

TENGKU MAN
Pandan Indah, Kuala Lumpur