Saturday, March 13, 2010

PEMBURU BABI MENGANCAM KESELAMATAN PENDUDUK KAMPUNG GEDOK, GEMENCHEH.

Semasa percutian saya menyambut hari pertama tahun baru 2007 dikampung tersebut, saya dikejutkan dengan dentuman senapang serta salakan anjing dikawasan kebun berhampiran pinggir hutan. Pada ketika itu, saya dapati beberapa orang kampung dicelah-celah kebun sedang memetik sayur-sayuran, mencari kayu api dan ada yang sedang memperbaiki pagar kebun.

Saya difahamkan dentuman senapang dan salakan anjing itu adalah aktiviti mingguan pemburu babi yang masuk dikampung dan dipinggir hutan sejak bertahun-tahun yang lalu.
Samada mereka ini mempunyai permit atau anggota RELA dari perkampungan Cina berdekatan, bukan tugasan saya untuk menahan mereka tetapi saya mempersoalkan jaminan KESELAMATAN orang kampung yang sedang berkebun, menternak, menoreh getah dicelah-celah belukar kampung tersebut.

Sekiranya pemburu ini mendapat kebenaran oleh pihak-pihak berkewajipan, dimanakah pengawasan pihak berkuasa, JKK Kampung dalam menyelia aktiviti pemburuan ini supaya anak buah mereka tidak tertembak dari peluru yang bertaburan semasa mengejar binatang buruan mereka? Apa yang saya dapat perhatikan ketika itu, tiada pemantauan serta had-had tertentu demi menjaga keselamatan orang kampung serta ternakan mereka.

Diharap pihak-pihak yang berkewajipan dapat menyiasat perkara ini sebelum orang tua yang sedang berjalan jalan dikawasan kampung dan dipinggir hutan serta ternakan mereka menjadi mangsa buruan pemburu ini. Seperti kata pepatah, bertindaklah sebelum nasi menjadi bubur. Elakkan tuduh menuduh setelah nyawa manusia melayang!

TENGKU MAN