Monday, August 12, 2013

Minta komuter Sungai Gadut-KL Sentral tak banyak berhenti

SAYA adalah pelanggan tetap perkhidmatan komuter Sungai Gadut-KL Sentral setiap hari kerja.
Perjalanan saya antara Sungai Gadut-KL Sentral mengambil masa satu setengah jam. Tempoh masa tersebut tidak termasuk perjalanan sehingga ke pejabat saya di KLCC dengan perkhidmatan LRT yang pada keseluruhannya mengambil masa dua jam.
Adalah besar harapan saya dan juga barangkali pengguna lain sekiranya pihak KTM memendekkan tempoh perjalanan dengan memperkenalkan perkhidmatan komuter berhenti hanya di stesen-stesen yang terpilih dan beroperasi di waktu tertentu sahaja.
Pada masa ini, komuter tersebut berhenti di setiap stesen antara Sungai Gadut dengan KL Sentral. Ini melambatkan perjalanan bagi pengguna yang naik dari stesen terawal.
Saya percaya pihak KTM mempunyai perancangan perkhidmatan yang lebih efisen dan efektif apabila projek landasan berkembar Sungai Gadut-Gemas siap seperti memperkenalkan perkhidmatan ETS KL Sentral-Gemas.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah perkhidmatan yang praktikal untuk memenuhi pola penggunaan perkhidmatan komuter masa kini dari Seremban.
Dengan perhkidmatan awam yang berdaya maju, saya percaya lebih ramai warga kota akan memilih untuk tinggal di luar Kuala Lumpur terutama di sebelah selatan tanah air.