Thursday, March 1, 2012

SYOR HAPUSKAN PERBEZAAN KOS RAWATAN PAKAR YANG DIRUJUK OLEH KLINIK KERAJAAN DAN KLINIK SWASTA

Saudara Pengarang,

Semasa saya mengunjungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru baru ini , saya dimaklumkan bahawa kadar rawatan pakar di hospital tersebut adalah berbeza mengikut status klinik yang di rujuk.

Sekiranya pesakit dirujuk oleh klinik kerajaan, kadar pendaftaran adalah RM5.00 sahaja. Rawatan susulan adalah minimal atau tiada caj langsung terutama kepada pesara.

Walaubagaimanapun, jika pesakit tersebut dirujuk oleh klinik swasta, kadar pendaftaran di HKL adalah RM30.00 dan rawatan susulan akan dikenakan seperti perbelanjaan X-Ray sebanyak RM60.00.

Kebiasaannya, anak dan saudara terdekat akan membawa ibubapa yang uzur ke klinik swasta kerana rawatan di klinik kerajaan agak lama dan memenatkan warga emas. Mereka sanggup membayar lebih bagi mengelakkan keresahan serta waktu menunggu.

Malangnya, apabila dirujuk oleh klinik swasta mereka di kenakan caj rawatan susulan yang tinggi oleh HKL dibandingkan pesakit yang dirujuk oleh klinik kerajaan.

Oleh itu, diharapkan pihak kerajaan dapat menyemak semula caj-caj yang tidak seimbang yang membebankan pesakit terutamanya warga emas ini.


TENGKU MAN
Pandan Indah
Kuala Lumpur