Monday, July 12, 2010

SAMAN EKOR BOLEH JEJAS INTEGERITI POLIS

Penjelasan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof mengenai proses pengeluaran saman dan menyenarai hitam kenderaan amatlah dihargai.

Walaubagaimanapun, apa yang dipertikaikan oleh pemilik kenderaan ialah proses penyenaraian hitam kenderaan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Saya adalah salah seorang mangsa saman ekor dimana nombor kereta saya disenarai hitamkan oleh pihak JPJ kerana kesalahan yang saya tidak pernah diberitahu sehinggalah pada hari untuk memperbaharui cukai jalan pada 17/6/2010.

Mengikut rekod JPJ, saya telah disaman pada KM 180.6 L/RAYA PANTAI TIMUR pada 14/2/2008 iaitu sudah 2 tahun berlalu tanpa sebarang peringatan atau notis sampai kealamat rumah yang saya diduduki sejak 20 tahun yang lalu. Sekiranya proses pengeluaran saman dipatuhi oleh pihak polis, saya percaya saman tersebut pasti sampai ditangan saya dengan segera untuk tindakan.

Ironiknya, semasa membaharui cukai pada tahun 2009, tiada pula masalah penyenaraian hitam semasa saya membaharui cukai jalan kereta yang sama sehingga Jun 2010.

Bagi mengelakkan kesalahan berganda tanpa cukai jalan di jalanraya, saya terus membayar kompaun yang tidak boleh dirayu lagi sebanyak RM300.00 pada 18/6/2010. Sebagai rakyat Malaysia yang tahu proses undang-undang, adalah begitu janggal dan malang jika pihak berkuasa mempraktis pengeluaran, penyenaraian hitam kenderaan dan pemandu tanpa mengikut proses undang-undang yang betul.

Amat malang jika dilihat ramai pengamal undang-undang dan rakyat biasa mempersoalkan tindakan pihak berkuasa sendiri tidak menghormati undang-undang dalam penguatkuasa undang-undang itu sendiri. Oleh itu, pihak perundangan di Bahagian Penguakuasa ( PDRM,JPJ ) perlu menasihati jabatan jabatan masing masing supaya pihak berkuasa perlu mengikuti proses perundangan supaya kerja-kerja mereka tidak dipersoalkan , diperlekehkan serta dicabar dimahkamah.

Saya harap pihak PDRM dan JPJ perlu menjaga intergriti jabatan masing-masing supaya ia tidak menjadi topik perbahasan dikalangan rakyat dan dijadikan modal dalam perbahasan diparlimen.
TENGKU MANPandan Indah