SAYA adalah pelanggan tetap perkhidmatan komuter Sungai Gadut-KL Sentral setiap hari kerja.
Perjalanan saya antara Sungai Gadut-KL Sentral mengambil masa satu
setengah jam. Tempoh masa tersebut tidak termasuk perjalanan sehingga ke
pejabat saya di KLCC dengan perkhidmatan LRT yang pada keseluruhannya
mengambil masa dua jam.
Adalah besar harapan saya dan juga barangkali pengguna lain sekiranya
pihak KTM memendekkan tempoh perjalanan dengan memperkenalkan
perkhidmatan komuter berhenti hanya di stesen-stesen yang terpilih dan
beroperasi di waktu tertentu sahaja.
Pada masa ini, komuter tersebut berhenti di setiap stesen antara
Sungai Gadut dengan KL Sentral. Ini melambatkan perjalanan bagi pengguna
yang naik dari stesen terawal.
Saya percaya pihak KTM mempunyai perancangan perkhidmatan yang lebih
efisen dan efektif apabila projek landasan berkembar Sungai Gadut-Gemas
siap seperti memperkenalkan perkhidmatan ETS KL Sentral-Gemas.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah perkhidmatan yang
praktikal untuk memenuhi pola penggunaan perkhidmatan komuter masa kini
dari Seremban.
Dengan perhkidmatan awam yang berdaya maju, saya percaya lebih ramai
warga kota akan memilih untuk tinggal di luar Kuala Lumpur terutama di
sebelah selatan tanah air.