Thursday, October 12, 2017

Jenayah ragut: Apa kesudahannya?

KIRA-KIRA tujuh tahun lalu isteri saya diragut beg dan barang kemas sebanyak dua kali semasa berjalan kaki di antara Jalan Pandah Indah 14 ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah.

Saya juga pernah melihat kes ragut di hadapan rumah saya di taman perumahan sama. Begitu juga, saya dimaklumkan mengenai pe-ningkatan kes ragut dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.


Saya percaya setiap kes ragut di kawasan tersebut telah dilaporkan serta rondaan polis di buat dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini tersebar kisah dimana seorang gadis dicederakan dengan tangannya ditetak semasa meragut beg beliau.

Persoalannya, setakat mana keberkesanan seseorang individu berjaga-jaga, penduduk dan sukarelawan mengawal kawasan di setiap masa dan penjuru taman secara efisien?

Bagi pihak polis pula, keberkesanan pemantau dan rondaan di kawasan tugasan yang agak luas untuk tindakan secepat mungkin.

Apa yang kekurangan kini adalah kesepakatan untuk bekerjasama di antara penduduk, orang awam dan pihak berkuasa. Begitu juga mencari mekanisme secara efektif untuk membendung jenayah ini yang berlarutan dan semakin merbahaya.

Dalam lawatan saya ke Guang Zhou, China sedikit masa lalu, saya perhatikan pemantauan terhadap laluan orang awam ialah melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di laluan orang awam yang dipantau terus kepada pihak berkuasa berhampiran.

Oleh itu saya sarankan setiap laluan orang awam terutama di tepi jalan atau lorong ke arah stesen pengangkutan awam seperti LRT dan bas atau teksi perlu dipantau dengan CCTV yang disambung terus ke balai atau pondok polis berdekatan atau pondok komuniti atau pengawal penduduk kawasan tersebut.

Dengan sistem CCTV yang berkualiti serta pencahayaan lampu yang terang di laluan tersebut, sebarang ancaman dapat dikenal pasti, pengecaman suspek senang dikenal pasti serta memperoleh barang bukti yang jelas.

Saya percaya inisiatif ini dapat perhatian pihak berkuasa tempatan serta penduduk tempatan pula dapat memberi sumbangan sama ada daripada segi kos, masa dan tenaga untuk kerja pemantauan dari pondok-pondok pengawal tersebut.

Begitu juga, pihak berkuasa se-

perti polis dan majlis tempatan dapat membuat kekerapan rondaan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes jenayah ragut dan ugut.

Diharap pemantauan secara kolektif antara pihak berkuasa tempatan seperti majlis perbandaran, pihak polis dan penduduk tempatan dapat membendung kes ragut yang semakin meningkat.

TENGKU MAN

Pandan Indah




Cadangan agihan subsidi minyak cetus salah guna MyKad

Walaupun cetusan idea pemberian subsidi melalui MyKad ini baru diperdebatkan, saya begitu sangsi dengan perlaksanaan idea ini yang menjurus kepada perlaksanaan yang kucar-kacir terutama pengunaan MyKad orang lain.

Rata-rata masyarakat Malaysia belum begitu matang malah agak sensitif penarikan    subsidi  yang mengakibatkan mereka menampung kesemua kos bahan api. MyKad individu  berpendapatan rendah akan disalahgunakan oleh rakyat golongan  pendapatan tinggi.


Contoh yang mudah untuk menerangkan fenomena ini ialah antara ayah atau anak yang  berpendapatan yang tinggi mengunakan MyKad ibu atau ayahnya dalam golongan pendapatan rendah.
Bagaimana mekanisma ini menunjukkan keadilan dan kredibiliti kerajaan?

Barangkali ada hujah mengatakan kita perlu beretika.

Persoalannya apakah pencapaian nilai etika masyarakat Malaysia sudah ditahap matang?

Jadi, saya berpendapat kerajaan perlu membuat kajian yang lebih praktikal dan adil dengan melantik pihak yang neutral dan berwibawa secara ilmiah sebelum membuat keputusan yang boleh  merendahkan imej kerajaan.

Melantik beberapa universiti atau kolej di Malaysia untuk membuat penyelidikan secara  neutral boleh memberi input yang baik kepada kerajaan.
Kerajaan tidak boleh bergantung dengan hasil penyelidikan dari agensi-gensi kerajaan kerana  sejak kebelakangan ini kajian tersebut terlalu bias yang rata-rata tidak mewakili inspirasi matlamat Kerajaan Persekutuan.
Diharap kementerian serta agensi kerajaan yang lain lebih peka dengan mencari mekanisme   terbaik untuk mencari keadilan yang tidak banyak  mengunakan penguatkuasaan dari segi bilangan  anggota, masa dan tindakan.

TENGKU MAN
Pandan Indah




Baiki prosedur 
pembaharuan permit kerja

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini saya membuat permohonan untuk memperbaharui permit kerja pembantu rumah di kaunter Imigresen Seremban.


Saya dimaklumkan oleh petugas kaunter tersebut pembaharuan permit kerja berkenaan hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui MyEG.

Saya juga memaklumkan kepada petugas terbabit bahawa ada keperluan permit kerja diperbaharui bagi memudahkan urusan perjalanan umrah.

Apabila saya pulang ke rumah dan membuka laman web MyEG, saya mendapati syarikat itu tidak menerima permohonan membaharui permit kerja sekiranya permit tersebut mempunyai baki lebih dari dua bulan. Permit pembantu rumah kami masih berbaki empat bulan.

Dalam masa sama, permohonan visa pembantu rumah kami di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memerlukan permit kerja berbaki sekurang-kurangnya enam bulan.

Jika kurang enam bulan, Kedutaan Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa perjalanan. Jadi, sebagai rakyat biasa, kami tersepit di antara kedua-dua keperluan ini.

Oleh itu, pertamanya, disarankan pihak yang bertanggungjawab bermuafakat untuk tidak menyukarkan orang ramai kerana terpaksa datang semula ke kaunter Imigresen setelah permohonan melalui laman web MyEG ditolak.

Kedua, pihak Imigresen perlu mempunyai pegawai yang berpengetahuan dan berkebolehan mengendali kes-kes terpencil di kaunter kerana permohonan secara rutin telah diambil alih oleh MyEG.

Pegawai terbabit harus sentiasa mempunyai sikap ingin membantu dan bersedia menerangkan kepada orang ramai pilihan-pilihan lain bagi membolehkan permohonan permit kerja diteruskan dan bukan terhenti begitu sahaja.

TENGKU MAN

Senawang



Mahu Sains kemas kini dokumen perjanjian air

BARU-BARU ini saya meminta salinan perjanjian bekalan air antara saya dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Malangnya, pihak Sains memaklumkan bahawa kononnya perjanjian kini adalah berdasarkan terma dalam borang permohonan pada tahun berkenaan (2007).


Sehingga kini saya tidak mendapat apa-apa bukti penerimaan daripada permohonan tersebut untuk dijadikan asas perundangan sebagai satu kontrak antara saya dengan pihak Sains walaupun bekalan air dibekalkan sejak 2007.

Tanpa memberi salinan kontrak yang menjadi asas perundangan ‘penerimaan dan tawaran’, saya khuatir tindakan tidak popular seperti pemotongan air oleh pihak ketiga Sains ke atas pengguna boleh dicabar serta dipertikaikan di mana-mana mahkamah.

Apatah lagi syarikat bekalan air itu beroperasi menjurus kepada konsep monopoli yang terikat dengan Competitive Act 2010.

Kandungan kontrak seperti terma jaminan bekalan berterusan, spesifikasi kualiti air mengikut perundangan antarabangsa serta proses sebelum melakukan tindakan pemotongan perlu didokumenkan dalam perjanjian dan bukannya sekadar peringatan di dalam bil-bil air.

Segala peringatan perlu merujuk terma yang disebut dalam kontrak yang mana sehingga ini tiada bukti kontrak untuk dipegang.

Sebagai syarikat yang telah diswastakan, pengurusan Sains perlu dilihat sebagai sebuah syarikat yang profesional, kompeten, integriti dan bertanggungjawab.

Masalahnya, sejak saya berurusan dengan Sains sejak 2015, banyak kecelaruan serta tidak konsisten dalam hal berkaitan prinsip. Ini dapat dilihat apabila Sains mengendalikan soalan-soalan asas yang dikemukakan secara e-mel dan surat menyurat.

Berkaitan masalah itu, saya mahu mengesyorkan agar pemeriksaan berkala serta pemantauan dilakukan pihak Jabatan Air Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ke atas semua syarikat bekalan air swasta di negara ini.

TENGKU MAN

Senawang



Syor pasang palang getah di garisan berkembar

GARISAN berkembar dikenal pasti antara punca berlakunya kemalangan maut di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, Negeri Sembilan setiap tahun.

Baru-baru ini, dua sahabat baik maut dalam tragedi ngeri apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki mangsa terbelah dua setelah bertembung dengan sebuah Perodua MyVi dari arah bertentangan di sekitar kawasan sama. Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi itu turut menyebabkan empat orang cedera parah.


Selain kelalaian pemandu mematuhi amaran papan tanda, faktor garisan berkembar di tengah jalan raya menuruni cerun bukit dari Ulu Bendul ke persimpangan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) juga boleh mendorong keinginan ‘jahat’ pemandu untuk memotong kenderaan depan dan seterusnya bertembung dengan kenderaan lain yang sedang mendaki.

Keinginan sama dirasai saya sewaktu melalui jalan tersebut. Pada kebiasaannya, pemandu merasakan mereka boleh melepasi kenderaan depan ketika memotong garisan berkembar sewaktu menuruni bukit. Hakikatnya kenderaan dari arah depan juga laju pada masa sama. Ini menyebabkan kenderaan tadi gagal memotong dan bertembung kereta dari arah bertentangan.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, saya sarankan pihak bertanggungjawab memasang palang getah secara tetap di sepanjang garisan berkembar terutamanya di kawasan berisiko bagi mengelak kenderaan memotong dan masuk di jalan bertentangan.



TENGKU MAN

Senawang




KTMB jawab Tengku Man

Saudara Pengarang,

SURAT Tengku Man, Seremban bertajuk Syor KTM bina stesen komuter di Sungai Gadut elak kesesakan di ruangan ini pada 12 Julai 2002 adalah berkaitan.

Beliau mencadangkan KTMB membina satu lagi stesen komuter di Seremban iaitu di Sungai Gadut bagi mengelakkan kesesakan di bandar Seremban.

KTMB mengucapkan terima kasih dan akan mengambil kira cadangan tersebut dalam perancangan kami pada masa akan datang.

Buat masa ini, perkhidmatan komuter belum dapat beroperasi di Sungai Gadut kerana laluan tersebut tidak mempunyai sistem elektrifikasi dan landasan berkembar, yang merupakan dua komponen penting dalam sistem operasi tren elektrik, KTM Komuter.

KTMB memang berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan komuter ke Sungai Gadut.

Ini hanya dapat direalisasikan apabila Projek Landasan Berkembar dan Elektrifikasi dilaksanakan bagi sektor Seremban Johor Bahru sebagaimana yang diumumkan oleh pihak kerajaan.

Malah KTMB juga bercadang untuk memberi keutamaan dalam melaksanakan projek tersebut di sektor Seremban Sungai Gadut. Diharap Tengku Man dan para pengguna komuter di kawasan Seremban dapat bersabar sehingga sistem KTM Komuter dapat diperluaskan ke Sungai Gadut.

KTMB sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatannya demi keselesaan para penumpang. Untuk itu, segala cadangan dan komen adalah dialu-alukan.

Diharap Tengku Man akan terus menggunakan perkhidmatan kereta api.


- AZIZAH UJANG, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB.




Haramkan bina kilang dekat kampung dan sungai

SAUDARA PENGARANG,

DARIPADA pengamatan saya, kilang-kilang yang beroperasi di hulu sungai dan di kawasan kampung amat sukar untuk mematuhi piawai pencemaran air dan bunyi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sekali gus boleh menjejaskan alam sekitar dan ketenteraman hidup penduduk tempatan.


Lazimnya kehidupan di sebuah perkampungan pada aman, sunyi, tenang dan semuanya ini sesuai dengan sifatnya yang mendamaikan. Ketenangan inilah yang memikat kami sebagai anak desa untuk terus pulang ke kampung selain faktor menjenguk ibu bapa tercinta.

Malangnya, kedamaian tersebut dirosakkan dengan pencemaran bunyi dan alam sekitar gara-gara wujudnya sebuah kilang sawit yang beroperasi di hulu sungai. Ternyata kilang yang didirikan itu tidak mematuhi setiap undang-undang yang ditetapkan.

Mereka beroperasi sesuka hati dan saya difahamkan pelbagai amaran serta denda dikeluarkan kepada pemilik kilang terbabit. Bagaimanapun mereka tetap meneruskan operasi kerana hasil keluaran kilang itu dikatakan menguntungkan. Atas sebab itu, mereka tidak serik membayar sejumlah besar denda yang dikenakan.

Kilang sawit yang dimaksudkan ini didirikan di pinggir sebuah kampung di Gemencheh, Tampin. Disebabkan terlalu banyak aduan, pihak berkuasa terpaksa memantau operasinya setiap masa bagi memastikan operasi mematuhi syarat-syarat piawaian pencemaran yang ditetapkan.

Pada hemat saya, pemantauan sebegini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kilang tersebut didirikan di kawasan yang sesuai serta terancang dan bukannya di kawasan kampung atau penempatan penduduk.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa perlu lebih bertegas iaitu dengan tidak membenarkan kilang didirikan di kawasan penempatan atau berhampiran dengan penempatan. Kilang juga tidak wajar dibina berhampiran kawasan sungai bagi mengelakkan pencemaran.

Justeru sebarang permohonan untuk membina kilang sama ada di kawasan penempatan atau sungai wajib ditolak oleh pihak berkuasa. Jangan disebabkan operasi sebuah kilang penduduk pula yang akhirnya menjadi mangsa.


TENGKU MAN
Senawang