Sunday, January 27, 2013

PIHAK UNIVERSITI ATAU KOLEJ TAK PERLU RISAU DENGAN PENGAMBILAN PELAJAR TIDAK BERASASKAN MERITOKRASI

Saya amat  teruja apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan  pelajar miskin yang berpendapatan 40 peratus terendah berpeluang melanjut pelajaran ke IPTA dan politeknik.

Ini bermakna, tidak semestinya prinsip meritokrasi boleh menjamin keharmonian penduduk negara yang berbeda taraf kehidupan  dan memenuhi kehendak industri.

Dari pengamatan saya, kriteria peribadi (personality) sesaorang individu perlu dijadikan teras pemilihan kemasukkan pelajar selain dari keputusan peperiksaan.

Suasana kehidupan keluarga mereka yang miskin boleh membentuk keperibadian positif sesaorang kanak-kanak.

Contohnya, apabila kehidupan harian  mereka dalam keadaan daif, kehilangan ibubapa dan sebagainya,  secara lazimnya  mereka ini akan memberanikan diri membuat keputusan untuk "survive" diperingkat kanak-kanak lagi.

Oleh itu, terbentuklah keperibadian yang positif kerana mereka didedahkan dengan cabaran  dan belajar  membuat  keputusan sendiri.

Pembentukkan keperibadian yang positif ini sebenarnya boleh juga diperhatikan dalam aktiviti-aktivi kokurikulum sekolah sekiranya ada ada pasukan khas memandu inisiatif ini dengan lebih berkesan berbanding pendekatan sekarang hanya "menghiasi"  inspirasi Kementerian tanpa memahami "spirit" kokurikulum itu sendiri.

Keperibadian inilah yang perlu di cungkil pada setiap pemohon tanpa mengira keputusan peperiksaan yang terbaik kerana ciri-ciri ini amat penting semasa mereka belajar di institut pengajian tinggi dan organisasi dimana mereka akan berhadapan dengan cabaran dan membuat keputusan.

Kini, organisasi yang berwibawa  memerlukan pekerja yang mempunyai  ciri-ciri kepimpinan, bersedia menerima cabaran serta mempunyai sifat "ownership" dan sebagainya.

Oleh itu, pihak universiti atau kolej tidak perlu risau dengan kelayakan yang agak minimal tetapi perlu peka kehendak-kehendak  industri pada masa kini.



TENGKU MAN
Pandan Indah, KL

Thursday, January 10, 2013

APA YANG TINGGAL JIKA IDENTITI ISLAM DILANCURKAN

Saudara Pengarang,

Jika pembuka kata saya mengatakan orang Melayu sudah kehilangan identiti kemelayuannya  dan hanya tinggal nama "Baju Melayu",  sudah tentu ramai mengatakan bahawa saya adalah nasionalis  ekstrim yang bertentangan dengan agama Islam.

Apabila saya mengatakan bahawa Islam  hilang identiti keislamannya dimana nama Allah "dijual" kepada penganut agama lain maka barangkali ada yang merasai sesuatu yang tidak kena.

Malangnya ada segolongan manusia yang bercita-cita besar sanggup menghalalkan apa sahaja asalkan hajat peribadi dan partinya menjadi realiti dan barangkali dendam kesumatnya akan memenjarakan rakan musuh mereka akan terlaksana.

Subhanallah, apabila manusia sudah hilang kemanusiaannya  akan buat apa saja walaupun mereka tahu satu hari nanti bangsa dan agama mereka akan dihina oleh satu bangsa yang sudah pun menakluki dunia .

Maka berkuburlah sinar Islam kerana tiada keunikan dan identiti untuk cucu cicit kita nanti.

Semoga, manusia bergelar "alim" dan bercita-cita tinggi ini dapat petunjuk sebelum anak cucu kami hilang pendoman dan pendirian agama mereka.






TENGKU MAN
Pandan Indah, KL

Sunday, December 16, 2012

DAP DISERU CONTOHI KONSEP MUHIBAH JIKA IKHLAS MELIHAT MASYARAKAT 1MALAYSIA.

Saudara Pengarang,

Lanjutan keputusan perwakilan Kongres Kebangsaan  DAP, dapat saya rumuskan  bahawa konsep Malaysia Malaysian yang diwar warkan berpuluh tahun  oleh DAP tidak diterima oleh  masyarakat bukan berbangsa Melayu. Maksudnya, orang Melayu tidak menolak tetapi yang bukan Melayu menolak konsep itu yang juga disedari oleh pemimpin DAP itu sendiri.

Ini berbeda dengan konsep MUHIBAH yang di ketengahkan oleh BN sebagai kerajaan yang memerintah. Ia lebih bercorak kehormonian, kemasyarakatan dan bertanggungjawab serta mempunyai agenda yang besar dalam menyatukan rakyat berbilang kaum. Rata-rata diterima oleh masyarakat Malaysia.

Ironiknya, konsep Malaysia Malaysian yang gagal itu  masih diteruskan oleh DAP demi menjaga kepentingan bangsa yang dominan. Oleh itu, mempertahankan konsep Malaysia Malaysian ini selari dengan strategi negara jiran terdekat kita yang mana orang  Melayu dipinggirkan dalam pelbagai perkhidmatan, kedudukan, keistimewaan dan sebagainya .

Yang tinggal, nama jalan, bangunan serta  bahasa rasmi  negara tersebut Bahasa Melayu sedangkan ekonomi., politik serta "penghapusan" bangsa serta agama yang dianuti oleh minoriti semakin menjadi realiti.

Persoalannya, adakah kita yang bertuan di Tanah Melayu ini akan menjadi "barua" kepada bangsa lain dengan mencari peluang kelemahan orang Melayu yang rata-rata  sentiasa taat setia seperti zaman masyarakat Hang Tuah dulu kala?

Bagi pandangan saya, kita perlu ramai Hang Jebat dalam situasi yang sungguh mencabar kepentingan orang Melayu dan agama Islam dimasa hadapan.

Oleh itu, saya cadangkan orang Melayu kaji impikasi terhadap masa hadapan masyarakat Melayu dan agama Islam dengan mengambil menilai  keputusan Kogress Kebangsaan DAP.

Semoga orang Melayu mendapat petunjuk dan iktibar   membela keturunan Melayu, bumiputra dan agama Islam.


TENGKU MAN
Pandan Indah, KL

Monday, December 3, 2012

SYOR BAGAIMANA TRANFORMASI MENJADI PILIHAN RAKYAT

Saudara Pengarang,

Saya tertarik dengan reaksi kegusaran rakyat samada memilih transformasi yg dicadangkan oleh PM  atau membenarkan experimen yang diwarwarkan oleh parti PKR.

Dalam mengejar peningkatan ekonomi dan perkembangan global yang terlalu cepat melanda seluruh dunia, experimen yang diperkatakan itu hanyalah rektrotik dan  melembabkan perkembangan ekonomi negara, membantutkan kemajuan negara serta melemahkan kuasa ekonomi negara.

Bagi pendapat saya, isu sebenarnya adalah perebutan tender atau peluang-peluang terbuka yang keberangkalian memihak kepada syarikat-syarikat kroni dari pihak dalaman parti. 

Jika itu intipatinya, kelemahan diperingkat implementasi ini perlu diberi jaminan oleh pihak pemerintah  bahawa segala perolehan dan pemberian tender kerajaan pusat dan negeri perlu telus.

Satu jawatankuasa yang  terajui oleh para profesional dikalangan syarikat korporat samada syarikat kepunyaan kerajaan seperti PETRONAS, swasta, GLC dan sebagainya.

Maksudnya, semua ahli jawatankuasa tender adalah dikalangan profesional dari syarikat-syarikat yang mempunyai prosidur pemberian tender dan perolehan yang diakui terbaik oleh pihak yang tiada kepentingan.

Jawatankuasa  tersebut boleh dipengerusikan oleh wakil kerajaan dengan mempunyai wakil pemerhati dikalangan parti pembangkang semasa membuat pemilihan pemida, kriteria tender, penilaian teknikal dan komersial.

Jika ini dapat di implementasi dengan segera, saya percaya rakyat dapat menilai keihklasan kerajaan dan memilih transformasi sebagai satu keputusan yang terbaik untuk rakyat melihat wang mereka dibelanjakan dengan penelitian dan pengawasan di tahap tinggi.


TENGKU MAN
Pandan Indah

Monday, November 19, 2012

BERDOA UNTUK MENDAPAT KESEJAHTERAAN UMAT

Saudara Pengarang,

Dari pemerhatian saya, semakin dekat  PRU 13 akan di adakan semakin terdesak setiap parti ingin mencari tumpuan.

Malah semakin kebudak-budakkan cara mereka cuba mempengaruhi bakal pengundi. Wahai politikus negara  Malaysia, kami pengundi bukanlah terlalu cetek untuk menilai perang saikologi antara parti kamu.

Apa salahnya diantara kamu yang sudah terlanjur kata atau terlanjur perbuatan segera minta maaf kepada rakyat. Jangan lah cuba mengalih tumpuan kami dengan membuat satu lagi bidaah yang tidak masuk akal. Kita diajar mendoakan sesuatu yang membawa kebaikan bukan mendoakan keburukkan sesama bangsa dan agama.

Saya tidak pasti kitab mana yang dirujuk dan ditunggang terbalikkan supaya pengertian menjurus kepada kemahuan politik mereka. Janganlah mencelarukan fikirian bangsa sendiri yang sebahagiannya  masih cetek pengetahuan tentang politik.

Dalam saat-saat genting masyarakat Palestine bertarung nyawa, mari lah kita sama-sama berdoa agar mereka di lindungi Allah SWT. Jangan lah berdoa mengkhianati bangsa dan agama sendiri dinegara kita sedangkan umat Islam dibunuh dengan kejam di Palestine.

Bangkit dan sedarlah mereka memerlukan kita untuk berjuang menentang zionis yang kejam yang  terang-terang termaktub dalam kitab. Setakat ini belum saya terbaca  bangsa Melayu tertulis dimana-mana hadis yang mengatakan pengkhianat bangsa dan agama.

Jadi, apa rasional nya kita berdoa menghapuskan bangsa kita sendiri?


TENGKU MAN
Pandan Indah, Kuala Lumpur

Saturday, November 17, 2012

SYOR KEPADA PEGUAM PERLU MELALUI UJIAN TAHAP KEWARASAN SEBELUM MAHKAMAH BERSIDANG.


Pengarang,

Apabila wujud keraguan kepada tertuduh dalam bicara sesuatu kes dan sebelum mahkamah membuat keputusan, kebiasaannya tertuduh diminta menjalani peperiksaan atau rawatan psikiatri untuk mencari tahap kewarasan. Begitu juga ujian tahap alkohol terhadap peserta sukan bagi mempastikan peserta tidak dipengaruhi bahan terlarang semasa bertanding.

Maka kaedah ini boleh dijadikan panduan dalam mempastikan setiap peguam pula yang berhujah dimahkamah mempunyai kewarasan manusia “normal” tanpa dipengaruhi atau dirangsang oleh bahan-bahan terlarang. Pada hemat saya, adakalanya hujah dan lontaran oleh peguam semasa mahkamah bersidang seolah-olah melangkaui tahap normal manusia biasa berfikir.Bagi mempastikan mereka berhujah dengan kewarasan dan rasional, dicadangkan semua peguam samaada penguambela atau pendakwaraya perlu menjalani tahap kewarasan seperti peperiksaan tahap kandungan alkohol sebelum atau selepas perbicaraan.

TENGKU MANPandan Indah

Friday, November 16, 2012

MINTA PONDOK POLIS DI TAMAN TUANKU JAAFAR, SUNGAI GADUT

Saudara Pengarang,

Sebagai rakyat Negeri Sembilan, pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hassan  menjadikan Seremban Bandaraya  Satelit  amat membanggakan saya yang baru menetap di daerah Seremban dan berkerja di Kuala Lumpur.

Pembinaan stesen baru  komuter Sg Gadut - Kuala Lumpur telah mempercepatkan hasrat saya serta keluarga berpindah dari Kuala Lumpur ke Taman Tuanku Jaafar, Senawang.

Sebagai warga kota Kuala Lumpur sejak 34 tahun yang lalu ingin saya berkongsi pandangan mengenai kemudahan asas sebagai penanda aras untuk menjadi Seremban sebagai Bandaraya Satelit.

Apa yang dapat saya perkatakan dalam masa terdekat ini  ialah keselamatan serta keselesaan penduduk dan murid-murid  di sekolah dikawasan Taman Tuanku Jaafar, Sg Gadut, Senawang. . Pengawasan dari pihak berkuasa perlu  di pertingkatkan terutama berhampiran sekolah Rendah dan Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar bagi mengawasi anak-anak dan pejalan kaki  serta murid-murid ke stesen komuter Sg Gadut.

Oleh itu, saya syorkan sebuah pondok polis perlu disegerakan berhampiran sekolah bagi menjamin keselamatan penduduk dan murid-murid sekolah yang akan mengunakan lorong ke stesen komuter Sg Gadut.

Dalam masa yang sama, diharap dengan pengawasan penguatkuasa 24 jam dapat mengurang gangguan yang biasa di cetuskan oleh segelintir anak muda yang membuat bising dan mabuk dikawasan berhampiran sekolah dan lorong pejalan kaki.

Diharap cadangan ini dapat membantu hasrat Menteri Besar Negeri Sembilan merealisasikan impian beliau melihat Seremban bertaraf Bandaraya Satelit secepat mungkin.

TENGKU MAN
Taman Tuanku Jaafar, Senawang.