Friday, January 28, 2011

BUKU TEKS INTERLOK PERLU HANGAT UNTUK DIJADIKAN BAHAN KAJIAN PELAJAR.

Saya pernah menuntut di Tingkatan 6 pada sekitar tahun 1976-77 di mana salah satu buku teks untuk matapelajaran sastera bertajuk "Keluarga Gerilya " yang di karang oleh Pramoedya Ananta Toer seorang pejuang kemerdekaan yang terkenal di Indonesia.

Pengisian di dalam buku tersebut banyak kontrovesial samada jalan cerita, watak, unsur - unsur bias dan sebagainya. Yang menariknya, dengan kontroversi ini lah kami pelajar di Tingkatan 6 dapat menganalisa, mengkaji, berdebat bagi mempertingkatkan kualiti penghujahan, rasional, mengkaji pemikiran penulis serta membawa kami ke situasi zaman lampau penulis supaya kami dapat menghayati keazaban, keperitan masyarakat dizaman penjajah Belanda ketika itu.

Jadi, isu buku teks (novel) Interlok karya Abdullah Hussain yang menjadi buku teks Tingkatan 5 adalah satu bahan kajian yang boleh mengasah minda pelajar-pelajar dengan membahaskan kenyataan yang sangsi, kontrovesi dan sebagainya. Pada pendapat saya, sesabuah karya yang dibukukan sebenarnya bukan satu bahan propaganda yang senang mempengaruhi minda sesaorang terutama generasi masa kini yang lebih terbuka dan matang. Dengan pengaruh globalisasi tanpa sempadan, kita perlu lahirkan warganegara yang kritis, kreatif serta berinovasi.

Oleh itu, saya mempertahankan bahawa teks Interlok tidak perlu di olah atau dibuat nota kaki kerana ia akan menjadi buku teks yang "sejuk" , "tidak bernyawa" malah hilang keunikannya untuk dikaji dan di debatkan sesama pelajar.

Sangahan oleh sebahagian kaum yang di sebut dalam buku tersebut tidak perlu di layan kerana mereka adalah politikus tegar yang tidak pernah membuat kajian secara formal di kolej atau pusat pengajian tinggi samada di dalam atau di luar negara.

TENGKU MAN
Pandan Indah

Thursday, December 23, 2010

SYOR PIHAK BERWAJIB MEMBUAT PEMERIKSAAN MENYELURUH SEMUA KENDERAAN AWAM.

Setiap kemalangan yang melibatkan kenderaan dan orang awam, pelbagai penemuan dilaporkan oleh Jawatankuasa yang di lantik. Antaranya, penemuan muatan atau penumpang berlebihan yang melanggar perakuan yang di syorkan oleh pembuat kenderaan tersebut. Al kisah kemalangan bas dua tingkat baru-baru ini di Cameron Highlands melapurkan bahawa bas tersebut di strukturkan untuk 19 penumpang tetapi ditambah tempat duduk mencapai sehingga melebihi 30 orang.

Oleh itu, apa jua angka ditambah, sudah tentu keseimbangan bas terutama semasa menuruni bukit tidak stabil di mana secara teorinya graviti akan berkumpul dibahagian hadapan dan sukar bagi pemandu untuk mengawal semasa mengambil selekoh serta kelajuan luarbiasa menuruni bukit.

Ironiknya, bas tersebut diperiksa mengikut jadual berkala oleh pihak berwajib. Persoalannya, bagaimana penambahan tempat duduk terlepas pandang oleh pihak yang dipertanggungjawab? Pemeriksaan berkala sepatutnya bukan sahaja tertumpu dengan "chasis engine", tayar, brek dan sebagainya tetapi perlu mengambil perhatian pengubahsuai struktur bas dan penambahan muatan.

Jika faktor faktor "dalaman" ini diperketatkan, maka siasatan selepas berlakunya kemalangan dapat menumpukan pula faktor faktor "luaran" seperti keadan jalanraya, sikap pemandu , cuaca, sabotaj atau sebagainya. Jadi kebarangkalian terlalu banyak punca berlakunya kemalangan dapat diperhalusi dan disenarai pendekkan. Malah masa siasatan dapat dijimatkan dan syor-syor penambahan baik prosidur lebih bersifat proaktif sebagai rujukan dalam pembinaan struktur kenderaan awam.


TENGKU MAN
Taman Pandan Indah

Wednesday, December 22, 2010

ISU PEMINDAHAN GURU PERLU DITANGANI SEGERA

Saya pernah memimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada sekitar tahun 1990an dahulu. Isu pemindahan guru, muatan beg yang berat dan sebagainya dibincangkan dalam Mesyuarat Agong setiap tahun dan Mesyuarat bulanan PIBG. Saya akui banyak isu isu seperti ini tidak dapat di selesaikan pada ketika itu hingga ke era tahun 2010.

Apa yang dapat saya lihat, sikap pengetua sekolah sebagai penasihat PIBG menghadkan perbincangan isu-isu yang berkaitan pemindahan guru guru menyebabkan isu-isu sebegini tidak dapat di selesaikan untuk jangka panjang. Dasar tidak mahu PIBG campur tangan dalam hal-hal kononnya bidang kuasa sekolah dan jabatan , tidak sebenarnya membantu sekolah dan jabatan dalam hal hal pengurusan logistik guru, pretasi murid dan dilema ibubapa.

Apabila perbincangan mengenai guru-guru di bahaskan, kebiasaan pengetua melihat dari perspektif polisi dan peraturan Jabatan dan Kementerian Pendidikan sedangkan apa yang mahu di ulaskan adalah kesan pemindahan guru mempunyai implikasi tahap pembelajaran dan pemahaman murid-murid terutama yang akan mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Arahan tukar guru dengan serta merta kesekolah lain kerana kebarangkalian kekurangan guru disekolah tersebut umumnya mempunyai rasional.

Dari perspektif Jabatan Pelajaran, ia adalah satu tindakan perlu bagi mempastikan murid-murid di sekolah yang kekurangan guru dapat belajar sebelum peperiksaan bermula. Sedangkan bagi ibubapa dan murid-murid di sekolah di mana guru tersebut sedang mengajar, ia adalah satu keputusan yang boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak mereka, kehilangan fokus dan keserasian antara guru dan murid-murid.

Oleh itu, pihak Kementerian dan Jabatan Pelajaran perlu melihat ibubapa dan guru-guru kelas adalah satu "aset" penting dalam pengurusan guru-guru dalam mendidik murid-murid kerana setiap perstrukturan organisasi, tempat mengajar dan sebagainya mempengaruhi emosi sesaorang dan memerlukan masa untuk berada dalam suasana atau "mood" yang baik.

Diharap pihak Kementerian, Jabatan Pelajaran dan pengetua dapat melihat secara positif idea dari pelbagai pihak supaya masalah penukaran guru dapat diselesaikan segera dan bukan memakan bertahun dan dekad tanpa kesudahan nya.


TENGKU MAN
Pandan Indah

Saturday, November 27, 2010

PENGANJUR PROGRAM AWAM TIDAK MENDAULATKAN BAHASA KEBANGSAAN.

Saudara Pengarang,

Pada 28 Nov 2010 ( pagi Ahad ), saya meluangkan masa mengikuti pelbagai seni jasmani di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Adalah menjadi rutin setiap minggu saya mengikuti program jasmani seperti aerobik oleh Dewan Bandararaya KL
( DBKL) .
Pada masa yang sama, saya lihat beberapa sepanduk diikat ditiang tiang lampu dalam bahasa Inggeris dan Cina diperkarangan Taman Tasik Titiwangsa, KL. Yang menarik perhatian saya ialah tulisan Cina terpapang besar dan di ikuti bahasa Inggeris yang sekadar dapat membaca dari jarak dekat. Malangnya, tiada satu perkataan maupun ayat dalam bahasa kebangsaan kita.
Naluri saya penuh dengan kebinggungan untuk mengetahui bentuk program awam yang akan berlangsung disana. Di paparkan dalam bahasa Inggeris di tulis " One Harmonious Family!" dengan gambar kartun mirip kaum India dan Cina.
Petugas yang memberi arahan kenderaan yang lalu di perkarangan taman tersebut pula memakai baju-T dengan lambang Kerajaan Persekutuan dengan tertera KDN ( Kementerian Dalam Negeri ).
Persoalannya, bagaimana program berbentuk awam dan dianjurkan ditempat awam dihadiri oleh sebilangan besar dari satu kaum sahaja? Dimana penglibatan semua lapisan kaum dalam program berbentuk perpaduan kaum? Ini berbeza sekali sekiranya sesuatu program itu diterajui oleh orang Melayu didapati banyak melibatkan kaum lain datang meraikan sesuatu program tersebut.
Bagaimana dari segi peruntukan perbelanjaan kerajaan yang saya pasti sudah diambil kira dengan penglibatan semua kaum dan agama? Yang pasti program ini bercanggah dengan konsep yang dilaung laungkan oleh PM kita. Apakah ini petanda kegagalan dalam meng "implementasi" kan konsep SATU MALAYSIA oleh sebilangan kaum yang bernaung diatas nama persatuan, pertubuhan dan sebagainya?.
Lebih malang lagi, petugas mereka yang mengenakan baju-T lambang Kerajaan Persekutuan mengawal dan mendominasi semua aliran masuk kenderaan. Sedangkan petugas DBKL yang berada dikawasan tersebut seolah-olah hilang taring dalam mengawal kawasan umum tersebut.
Jika ini realiti, adakah telah ada sesuatu kaum "mengawal" organisasi Kementerian yang saya anggap penting dalam menerajui masa depan negara dan majorti penduduk Malaysia ini?.


TENGKU MAN
Pandan Indah.

Friday, November 26, 2010

KUTBAH MASJID AL-AZIM PANDAN INDAH JERIT-JERIT

Saudara Pengarang,

Walaupun hari berkerja, saya sempat beberapa kali balik dari pejabat bersolat Jumaat di kawasan perumahan saya di Pandan Indah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah ada golongan berkerja mengeluh kerana kutbah di Masjid Al-Azim, Pandan Indah terlalu panjang sehingga jemaah terpaksa balik kepejabat dalam keadaan tergesa-gesa.

Pada hari kelmarin, saya berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Pandan Indah. Selain dari sistem pembesar suara yang tidak jelas dan penyampaian yang tidak menarik, kutbah yang di baca dalam nada terlalu rendah dan tiba tiba tinggi tanpa sebab seolah-olah di baca dalam keadaan menjerit.

Samada dengan alasan kutbah tersebut bermaksud untuk "mengejutkan" jemaah yang terlena, saya khuatir kanak-kanak yang bersama ibubapa dan para jemaah muda akan menjadikan budaya jerit menjerit satu piawai budaya dalam agama Islam. Oleh itu, saya berpendapat penyampaian sesuatu mesej semasa berkutbah perlu lebih beradab, menarik tanpa mengerdik dengan jeritan didalam masjid yang suci murni.

Saya harap pihak jawatankuasa masjid perlulah memantau serta berbincang bagaimana kaedah sekarang dapat di terima oleh sejumlah besar jemaah supaya mesej yang disampaikan dapat dimenginsafi jemaah serta mesejnya dapat dibawa dan berkongsi bersama keluarga di rumah. Amat malang, herdikan dan jeritan di atas mimbar merosakkan ketertiban beradab dan budaya kita. Apatah lagi, jemaah diwaktu solat Jumaat terdiri dari pelbagai lapisan umat Islam seperti dari warganegara Indonesia, Mynmar, Bangladesh , Nepal serta Timur Tengah yang rata-rata mereka tidak tahu hujung pangkal jeritan dari atas mimbar.



PENDUDUK TAMAN PANDAN INDAH
Pandan Indah.

Monday, November 22, 2010

CORAK KEPEMIMPINAN YANG AGRESIF BOLEH MAKAN DIRI SENDIRI

Saudara Pengarang,

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kita disajikan dari pelbagai media cetak mengenai pengikut dari sebuah parti di negara kita membuat bantahan keras corak kepimpinan mereka dengan mengadakan pelbagai bantahan semasa proses pemilihan pemimpin peringkat cabang, bantahan jalanan, lapuran polis dan sebagainya.

Oleh kerana pengikut-pengikutnya di suatu ketika dahulu "diajar" menjadi kurang ajar maka kini senjata atau mekanisma yang diguna pakai sudah memakan tuan sendiri.

Nampaknya pucuk pimpinan serta "wartawan" mereka sudah tidak dapat menafikan yang kononnya sebuah parti lain "menyamar" sebagai ahli parti mereka.

Kini dah pun terang malah disuluhkan lagi dimana ahli-ahli mereka sendiri mempromosikan siapa diri mereka dan kenapa mereka mencabar kepimpinan parti.

Seperti pepatah Melayu , "Ayah Borek Anak Rintik" dimana perangai "ayah" kini di ikuti oleh "anak-anak" yang mana jadual kehidupan mereka sejak kecil di ajar dengan kata-kata dan perbuatan yang bercanggah dengan nilai dan amalan hidup mereka.

Apatah lagi, provokasi yang diajar oleh pimpinan mereka adalah retrotik dan tidak secucuk dengan budaya serta adab orang timur.

Dari pengajaran di atas, saya berharap dimasa akan datang tiada kepimpinan samada pemerintah atau pembangkang dimasa mengunakan pendekatan yang songsang dari amalan hidup yang akhirnya memakan diri sendiri dan memusnahkan satu kebahagian sesebuah keluarga.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa semua wakil rakyat, ahli parlimen dan pemimpin masyarakat yang mencari pengaruh perlu lah lebih berhemah dalam bagi membentuk satu masyarakat murni, berdidikasi, berjiwa besar, ikhlas serta berwawasan.


TENGKU MAN
Pandan Indah.

Sunday, November 14, 2010

TARIKH 13 MEI ADALAH TARIKH LAHIR ANAK SAYA LAHIR. KENAPA DIGERUNI??

Saudara Pengarang,

Kepada masyarakat Malaysia yang lahir sebelum tahun 60an, peristiwa berdarah di tanah air pada tarikh 13 Mei 1969 barangkali amat mengerunkan kepada mereka.

Tetapi kepada generasi yang lahir selepas tarikh tersebut , mereka tidak sepatutnya di hukum secara sinis oleh politikus yang ketandusan idea dengan menjadikan tarikh tersebut sebagai tarikh malang.

Bagi generasi yang tidak melalui peristiwa itu, tarikh tersebut barangkali adalah tarikh kesyukuran meraikan hari kelahiran, pertunangan, perkahwinan, graduasi dan peristiwa yang manis untuk dibuat kenangan semasa hayat mereka dimana tarikh tersebut akan dilalui dengan cara hormat dan ceria sepanjang hayat.

Oleh itu, otai-otai politikus yang ketandusan modal perlulah berlaku adil kerana sudah tentu ada di antara mereka mempunyai anak, cucu atau saudara mara yang meraikan tarikh keramat itu sepanjang tahun.

Sebagai generasi yang sudah matang, angkatlah martabat tarikh tersebut sebagai tarikh bermulanya semangat kemuafakatan.

Saya cadangkan tarikh 13 Mei dinamakan HARI BERMUAFAKATAN atau HARI MUAFAKATuntuk seluruh rakyat Malaysia tanpa melukakan hati generasi baru.


TENGKU MAN
Pandan Indah.