Thursday, October 12, 2017

Baiki prosedur 
pembaharuan permit kerja

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini saya membuat permohonan untuk memperbaharui permit kerja pembantu rumah di kaunter Imigresen Seremban.


Saya dimaklumkan oleh petugas kaunter tersebut pembaharuan permit kerja berkenaan hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui MyEG.

Saya juga memaklumkan kepada petugas terbabit bahawa ada keperluan permit kerja diperbaharui bagi memudahkan urusan perjalanan umrah.

Apabila saya pulang ke rumah dan membuka laman web MyEG, saya mendapati syarikat itu tidak menerima permohonan membaharui permit kerja sekiranya permit tersebut mempunyai baki lebih dari dua bulan. Permit pembantu rumah kami masih berbaki empat bulan.

Dalam masa sama, permohonan visa pembantu rumah kami di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur memerlukan permit kerja berbaki sekurang-kurangnya enam bulan.

Jika kurang enam bulan, Kedutaan Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa perjalanan. Jadi, sebagai rakyat biasa, kami tersepit di antara kedua-dua keperluan ini.

Oleh itu, pertamanya, disarankan pihak yang bertanggungjawab bermuafakat untuk tidak menyukarkan orang ramai kerana terpaksa datang semula ke kaunter Imigresen setelah permohonan melalui laman web MyEG ditolak.

Kedua, pihak Imigresen perlu mempunyai pegawai yang berpengetahuan dan berkebolehan mengendali kes-kes terpencil di kaunter kerana permohonan secara rutin telah diambil alih oleh MyEG.

Pegawai terbabit harus sentiasa mempunyai sikap ingin membantu dan bersedia menerangkan kepada orang ramai pilihan-pilihan lain bagi membolehkan permohonan permit kerja diteruskan dan bukan terhenti begitu sahaja.

TENGKU MAN

Senawang



Mahu Sains kemas kini dokumen perjanjian air

BARU-BARU ini saya meminta salinan perjanjian bekalan air antara saya dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Malangnya, pihak Sains memaklumkan bahawa kononnya perjanjian kini adalah berdasarkan terma dalam borang permohonan pada tahun berkenaan (2007).


Sehingga kini saya tidak mendapat apa-apa bukti penerimaan daripada permohonan tersebut untuk dijadikan asas perundangan sebagai satu kontrak antara saya dengan pihak Sains walaupun bekalan air dibekalkan sejak 2007.

Tanpa memberi salinan kontrak yang menjadi asas perundangan ‘penerimaan dan tawaran’, saya khuatir tindakan tidak popular seperti pemotongan air oleh pihak ketiga Sains ke atas pengguna boleh dicabar serta dipertikaikan di mana-mana mahkamah.

Apatah lagi syarikat bekalan air itu beroperasi menjurus kepada konsep monopoli yang terikat dengan Competitive Act 2010.

Kandungan kontrak seperti terma jaminan bekalan berterusan, spesifikasi kualiti air mengikut perundangan antarabangsa serta proses sebelum melakukan tindakan pemotongan perlu didokumenkan dalam perjanjian dan bukannya sekadar peringatan di dalam bil-bil air.

Segala peringatan perlu merujuk terma yang disebut dalam kontrak yang mana sehingga ini tiada bukti kontrak untuk dipegang.

Sebagai syarikat yang telah diswastakan, pengurusan Sains perlu dilihat sebagai sebuah syarikat yang profesional, kompeten, integriti dan bertanggungjawab.

Masalahnya, sejak saya berurusan dengan Sains sejak 2015, banyak kecelaruan serta tidak konsisten dalam hal berkaitan prinsip. Ini dapat dilihat apabila Sains mengendalikan soalan-soalan asas yang dikemukakan secara e-mel dan surat menyurat.

Berkaitan masalah itu, saya mahu mengesyorkan agar pemeriksaan berkala serta pemantauan dilakukan pihak Jabatan Air Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ke atas semua syarikat bekalan air swasta di negara ini.

TENGKU MAN

Senawang



Syor pasang palang getah di garisan berkembar

GARISAN berkembar dikenal pasti antara punca berlakunya kemalangan maut di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, Negeri Sembilan setiap tahun.

Baru-baru ini, dua sahabat baik maut dalam tragedi ngeri apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki mangsa terbelah dua setelah bertembung dengan sebuah Perodua MyVi dari arah bertentangan di sekitar kawasan sama. Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi itu turut menyebabkan empat orang cedera parah.


Selain kelalaian pemandu mematuhi amaran papan tanda, faktor garisan berkembar di tengah jalan raya menuruni cerun bukit dari Ulu Bendul ke persimpangan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) juga boleh mendorong keinginan ‘jahat’ pemandu untuk memotong kenderaan depan dan seterusnya bertembung dengan kenderaan lain yang sedang mendaki.

Keinginan sama dirasai saya sewaktu melalui jalan tersebut. Pada kebiasaannya, pemandu merasakan mereka boleh melepasi kenderaan depan ketika memotong garisan berkembar sewaktu menuruni bukit. Hakikatnya kenderaan dari arah depan juga laju pada masa sama. Ini menyebabkan kenderaan tadi gagal memotong dan bertembung kereta dari arah bertentangan.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, saya sarankan pihak bertanggungjawab memasang palang getah secara tetap di sepanjang garisan berkembar terutamanya di kawasan berisiko bagi mengelak kenderaan memotong dan masuk di jalan bertentangan.



TENGKU MAN

Senawang




KTMB jawab Tengku Man

Saudara Pengarang,

SURAT Tengku Man, Seremban bertajuk Syor KTM bina stesen komuter di Sungai Gadut elak kesesakan di ruangan ini pada 12 Julai 2002 adalah berkaitan.

Beliau mencadangkan KTMB membina satu lagi stesen komuter di Seremban iaitu di Sungai Gadut bagi mengelakkan kesesakan di bandar Seremban.

KTMB mengucapkan terima kasih dan akan mengambil kira cadangan tersebut dalam perancangan kami pada masa akan datang.

Buat masa ini, perkhidmatan komuter belum dapat beroperasi di Sungai Gadut kerana laluan tersebut tidak mempunyai sistem elektrifikasi dan landasan berkembar, yang merupakan dua komponen penting dalam sistem operasi tren elektrik, KTM Komuter.

KTMB memang berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan komuter ke Sungai Gadut.

Ini hanya dapat direalisasikan apabila Projek Landasan Berkembar dan Elektrifikasi dilaksanakan bagi sektor Seremban Johor Bahru sebagaimana yang diumumkan oleh pihak kerajaan.

Malah KTMB juga bercadang untuk memberi keutamaan dalam melaksanakan projek tersebut di sektor Seremban Sungai Gadut. Diharap Tengku Man dan para pengguna komuter di kawasan Seremban dapat bersabar sehingga sistem KTM Komuter dapat diperluaskan ke Sungai Gadut.

KTMB sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatannya demi keselesaan para penumpang. Untuk itu, segala cadangan dan komen adalah dialu-alukan.

Diharap Tengku Man akan terus menggunakan perkhidmatan kereta api.


- AZIZAH UJANG, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB.




Haramkan bina kilang dekat kampung dan sungai

SAUDARA PENGARANG,

DARIPADA pengamatan saya, kilang-kilang yang beroperasi di hulu sungai dan di kawasan kampung amat sukar untuk mematuhi piawai pencemaran air dan bunyi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sekali gus boleh menjejaskan alam sekitar dan ketenteraman hidup penduduk tempatan.


Lazimnya kehidupan di sebuah perkampungan pada aman, sunyi, tenang dan semuanya ini sesuai dengan sifatnya yang mendamaikan. Ketenangan inilah yang memikat kami sebagai anak desa untuk terus pulang ke kampung selain faktor menjenguk ibu bapa tercinta.

Malangnya, kedamaian tersebut dirosakkan dengan pencemaran bunyi dan alam sekitar gara-gara wujudnya sebuah kilang sawit yang beroperasi di hulu sungai. Ternyata kilang yang didirikan itu tidak mematuhi setiap undang-undang yang ditetapkan.

Mereka beroperasi sesuka hati dan saya difahamkan pelbagai amaran serta denda dikeluarkan kepada pemilik kilang terbabit. Bagaimanapun mereka tetap meneruskan operasi kerana hasil keluaran kilang itu dikatakan menguntungkan. Atas sebab itu, mereka tidak serik membayar sejumlah besar denda yang dikenakan.

Kilang sawit yang dimaksudkan ini didirikan di pinggir sebuah kampung di Gemencheh, Tampin. Disebabkan terlalu banyak aduan, pihak berkuasa terpaksa memantau operasinya setiap masa bagi memastikan operasi mematuhi syarat-syarat piawaian pencemaran yang ditetapkan.

Pada hemat saya, pemantauan sebegini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kilang tersebut didirikan di kawasan yang sesuai serta terancang dan bukannya di kawasan kampung atau penempatan penduduk.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa perlu lebih bertegas iaitu dengan tidak membenarkan kilang didirikan di kawasan penempatan atau berhampiran dengan penempatan. Kilang juga tidak wajar dibina berhampiran kawasan sungai bagi mengelakkan pencemaran.

Justeru sebarang permohonan untuk membina kilang sama ada di kawasan penempatan atau sungai wajib ditolak oleh pihak berkuasa. Jangan disebabkan operasi sebuah kilang penduduk pula yang akhirnya menjadi mangsa.


TENGKU MAN
Senawang




Saran 
kilang 
tawar pegangan saham

SAYA berasa terpanggil untuk mencadangkan pemilik kilang dari syarikat berstatus sendirian berhad menawarkan sejumlah pegangan saham kepada koperasi penduduk tempatan, di mana kilang syarikat itu beroperasi.

Selain dapat menjalin kerjasama dengan ahli-ahli koperasi terutama dalam menyelia operasi harian kilang serta mematuhi undang-undang sedia di kawasan itu, penglibatan syarikat berkenaan juga dijangka dapat menikmati sebahagian limpahan pembangunan kampung.


Ini termasuk menambah pendapatan dividen dan bonus ahli koperasi.

Walaupun mendapat kelulusan daripada agensi-agensi kerajaan namun ketika ini, syarikat terbabit dilihat seperti sesuka hati masuk ke kawasan kampung dan mendirikan kilang tanpa melibatkan apa-apa penyertaan daripada penduduk di kawasan itu.

Jika ada pun, kebiasaannya pegangan saham ditawarkan kepada individu berpengaruh di dalam kawasan Parlimen atau individu yang mewakili penduduk di kawasan pilihan raya sahaja.

Diharapkan saranan itu dapat digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia untuk mencari mekanisme terbaik agar dapat merealisasikannya.

TENGKU MAN

Senawang




Terganggu bunyi bising kantin klinik

audara Pengarang, SAYA ingin membuat sedikit teguran berkenaan bunyi bising dari arah kantin yang terletak bersebelahan dengan makmal darah Klinik Kesihatan Senawang.

Bunyi bising yang dimaksudkan ialah suara terpekik pengusaha kantin dan pekerjanya ketika mengendalikan tempahan makanan dan minuman pelanggan. Keadaan hingar-bingar seperti di ‘bursa saham’ itu sangat mengganggu ketenteraman pesakit yang sedang menunggu giliran untuk membuat rawatan.


Saya amat berharap pihak pengurusan Klinik Kesihatan Senawang dapat membuat sesuatu atau setidak-tidaknya memberi nasihat kepada pengusaha kantin itu agar mematuhi adab dan etika perniagaan di kawasan klinik.

TENGKU MAN

Senawang