Thursday, October 12, 2017

Pencarian MH 370

Saudara Pengarang,

Dari pembacaan, pemahaman sumber kitab, artikel serta gerak hati saya, pencarian  pesawat MAS MH370 juga perlu diperluaskan ke kawasan banjaran Everest kerana kemampuan kapalterbang tersebut boleh sampai  dan mendarat dikawasan bersalji dikaki pergunungan tersebut.

Oleh itu, diminta kerjasama Kerajaan India dan Nepal serta negara  jiran mereka dapat meronda dikawasan lapang yang disaluti salji. Semoga telahan diluar kotak pemikiran ini dapat diterima oleh  pasukan  pencari serta para pakar kapal terbang  untuk di pertimbangkan sekiranya kebuntuan masih berlarutan.


SYOR AMAH BEKERJA DENGAN SYARIKAT DIMANA "MAJIKAN" BEKERJA.

Saudara Pengarang,

Cerita mengenai amah nampaknya tiada kesudahan. Diperingkat tertinggi membincangkan dari segi semangat dan kerjasama jangka panjang tetapi sebaliknya diperingkat perlaksanaan tidak pula mengambil kira semangat atau dasar yang telah dipersetujui diperingat tertinggi.

Apa yang ingin saya terokai di sini adalah syor syarikat-syarikat tempatan atau persatuan penduduk mengambil alih pengurusan amah amah dari luar negara sebagai majikan kepada pekerjanya.

Dengan cara ini, amah-amah tersebut akan ditawarkan berkerja dan membuat kerja yang spesifik bagi menepati kemahuan pihak negara pembekal. Contohnya, seorang amah akan menjaga lima anak kecil dan seorang amah lagi memasak. Sekiranya memerlukan lebih banyak aktiviti di rumah pengasuh dan jumlah anak-anak untuk dijaga maka lebih ramai amah diperlukan.

Maknanya, satu amah membuat kerja yang sama tetapi menjaga lima orang anak-anak dan seorang lagi amah membuat kerja memasak sahaja untuk sepuluh orang dan sebagainya. Kaedah ini lebih menjimatkan terutama keluarga yang kurang berkemampuan. Malah menepati apa yang dikehendaki oleh pihak pembekal seperti negara Indonesia. Upah dibayar oleh ibubapa setiap bulan kepada majikan dan majikan akan membayar gaji kepada amah-amah tersebut.

Formula ini barangkali boleh diguna pakai kepada warga emas yang memerlukan tempat dan suasana yang baik dipenghujung usia mereka bagi mengelakkan sindrom kemurungan dan kemuraman. Dengan mewujudkan Pusat Penjagaan Warga Emas yang serba moden dengan dilengkapi dengan surau, pusat kesihatan,chalet untuk keluarga pelawat dan sebagainya , saya percaya "pusat terapi" sebegini dapat diterima oleh keluarga yang mempunyai masaalah penjagaan ibubapa.

Barangkali konsep ini memerlukan pemikiran diluar kotak serta pengorbanan budaya dan amalan bagi mempastikan permasalahan keluarga generasi ke generasi dapat diurus secara profesional dan berhemah samada pewaris maupun warga emas yang mahu me nikmati taraf hidup dan kesihatan yang sihat dan sempurna.



TENGKU MAN
Pandan Indah
Kuala Lumpur

SYOR KAJI PERLEMBAGAAN FAM YANG TIDAK DEMOKRATIK.

Saudara Pengarang,


Kenyataan media Presiden Bolasepak Negeri Sembilan mengenai proses perjalanan mesyuarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat keputusan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia perlu dihalusi dengan membuat perubahan seperti dibawah.


1. Pengerusi mesyuarat perlu mengelak bersifat diktator dan tidak terbawa-bawa dengan latarbelakang sebagai penguatkuasa dan pernah memegang kuasa. Sukan adalah satu hiburan dan bukan mencari keuntungan atau tempat cari makanan atau kemewahan diri sendiri.


2. Ahli Jawatankuasa perlu mewakili beberapa negeri dan bukan di monopoli oleh sesebuah negeri. Dengan cara ini, dapat mengelakkan sikap "bias" secara spontan semasa mesyuarat berlangsung. Mengikut ilmu saikologi, sekiranya perkara atau perlawanan itu tidak memberi impak kepada negerinya, mereka tidak menyuarakan perkara-perkara yang sangsi atau untuk perhatian rakyatnya tetapi barangkali lebih memberi tumpuan bakal kemewahan hasil dari perlawanan itu untuk peribadinya.


Sekiranya, keputusan itu melibatkan rakyat atau penyokong negerinya, mereka akan bersuara dengan pelbagai alasan untuk mengurangkan kos yang ditanggung oleh rakyat dan penyokong yang kononnya rata-rata berpendapatan rendah.


3. Barangkali sudah sampai masanya perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan FAM perlu di kaji semula termasuk pemilihan personaliti bakal ahli jawatankuasa yang lebih tinggi nilai setiakawan, berwibawa, berwawasan serta "zero controversial" yang boleh diterima oleh pelbagai generasi dan peringkat. Disamping perkara-perkara yang tidak demokratik di dalam perlembagaan FAM di kaji dan di hapuskan.

Setiap Jawatankuasa tersebut perlu diadakan penanda aras (KPI) dan akan di bubarkan sekiranya setiap keputusan jawatankuasa ini banyak mengundang kontroversi.

Oleh itu, Jawatankuasa FAM perlu di rombak mewakili pelbagai negeri dan displin supaya ia mencerminkan satu jawatankuasa yang berwibawa dan boleh membuat keputusan yang di terima oleh majoriti peminat-peminat sukan bolasepak.

TENGKU MAN
Pandan Indah, Kuala Lumpur

Sunday, November 9, 2014

MINTA PENCAPAIAN OPERASI PENGUATKUASAAN DIKONGSI BERSAMA DENGAN PEMIMPIN DI TAMAN PERUMAHAN

Sejak kebelakangan ini isu penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan banyak dipertikaikan kerana ada keberangkalian pemilihan  tempat operasi  bersifat terpilih dari ancaman atau provokasi oleh pihak komuniti  yang melindungi oleh kumpulan atau individu tertentu.

Oleh itu, kawasan yang tiada ancaman kebiasaan menjadi sasaran berulangkali operasi penguakuasaan samada operasi pemotongan air dan elektrik bagi memenuhi Petujuk  Pretasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) setiap kakitangan terlibat tanpa melihat kesemerataan pola  kawasan dimana penguatkuasaan di buat.

Untuk membuktikan operasi penguatkuasaan tidak bersifat terpilih, pihak pengurusan berkuasa tempatan perlu  bijak merancang pola  taburan operasi penguatkuasaan yang bersifat adil kepada komuniti atau taman perumahan yang lain. Ini bermaksud, pihak penguatkuasa tidak memihak dan berkompromi dengan pihak lain semasa menjalankan tugas.

Ada suara-suara menyatakan kawasan-kawasan industri atau dimana kelompok masyarakat yang memihak kepada parti pembangkang atau kawasan yang majoritinya satu kaum tidak digempur dalam operasi pemotongan bekalan air, elektrik dan sebagainya.

Bagi memperbetulkan  persepsi ini, disyorkan pihak pengkuatkuasa tempatan berkongsi maklumat dengan  pemimpin komuniti di taman perumahan dibawah pentadbiran pihak berkuasa bagi membuktikan  keadilan menjadi keutamaan.

Masyarakat kini  ingin tahu bahawa tindakan undang-undang dibuat tidak memilih individu, syarikat,  tempat, kaum serta kumpulan pendesak.

Saturday, November 8, 2014

SYOR MEWAJIBKAN PIHAK SEKOLAH KENALI "TEAM BUILDING" SETIAP KEMASUKAN PENGHUNI BARU ASRAMA

Perlakuan buli di asrama masakini sudah sampai satu peringkat yang kritikal kerana pihak ibubapa dan masyarakat tidak boleh menerima perlakuan tersebut sebagai satu bentuk  "suai kenal" yang diwarisi  turun temurun kepada penghuni baru asrama.

Bagi mengatasi gejala ini, pihak sekolah atau jabatan perlu ada satu kaedah terbaik supaya semangat yang ingin di terapkan  dikalangan ahli junior ia itu "menghormati senior" dapat dijalankan dengan suasana  yang lebih terbuka, beretika dan beradap.

Adalah baik sekiranya pihak sekolah dan asrama mengadakan satu aktiviti yang menjurus kepada pembinaan pasukan baru dengan  punyai visi berbentuk ilmiah kepada setiap kemasukan penghuni asrama  dengan sedikit peruntukan dari kementerian. Dengan ini setiap ahli dalam pasukan tersebut samada ahli baru atau lama dapat saling membantu untuk mencapai sesuatu visi.

Dalam aktiviti sebegini, mereka akan sentiasa berkomunikasi dan mengwujudkan kesefahaman dikalangan mereka.  Disamping itu, pihak sekolah dapat memerhatikan kepimpinan, personaliti serta kekuranagan  mereka semasa aktiviti tersebut berjalan dan memberi ganjaran atau hadiah kepada pasukan yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.

Diharap dengan kemesraaan terjalin semasa aktiviti ini, penghuni baru dapat "berlindung" dengan rakan senior yang sentiasa membantu mereka semasa aktiviti berjalan.Secara tidak langsung, mereka dapat merapatkan jurang atau "gap" untuk mengenali personaliti masing-masing.

Sunday, November 2, 2014

MINTA SYARIKAT AIR NEGERI SEMBILAN (SAINS) GUNA BUDI BICARA SEBELUM BEKALAN AIR DIPOTONG

Baru-baru ini SAINS menjalankan  operasi pemotongan air di kawasan perumahan Taman Tuanku Jaafar. Apa yang mendukacitakan, notis pemotongan di sampaikan melalui peti surat yang bertarikh terkebelakang (backdated) dan melaksanakan pemotongan air pada hari yang sama. Maka dengan itu, pengguna  yang mempunyai tunggakan bil tidak diberi kesempatan  menyimpan sedikit  air untuk bersolat, minum dan memasak.

Ada banyak keberangkalian pihak penguna tidak menjelaskan bil antaranya kesibukkan tugasan, terkhilaf dan keengganan. Pengunaan air untuk seisi rumah bukanlah banyak seperti dikawasan kilang yang bermotif keuntungan tapi hanya sekadar bersolat, mandi, minum dan sebagainya.

Oleh itu, tunggakan bukanlah sekitar ribuan ringgit yang boleh menjejaskan aliran tunai operasi SAINS. Keutamaan sepatutnya ditumpukan di kawasan yang melibatan pengguna berorientasi perniagaan.

Saya percaya pengguna asas harian  telah banyak berteloransi dengan pihak pembekal air terutama semasa hari-hari penyelengaraan paip dan catuan  air. Oleh itu, apalah salahnya pihak pengurusan SAINS memberi sedikit masa untuk pengguna rumah menadah air atau memberi sedikit ruang untuk mereka menjelaskan bil tertunggak.

Sikap memberi notis bertarikh kebelakang adalah tidak bermoral dan beretika. Di harap pihak pengurusan SAINS segera  menyiasat samada petugas mereka menyampaikan notis-notis tersebut lebih awal sebelum operasi pemotongan air dilaksanakan.

Saya khuatir perbuatan yang tidak beretika boleh disalah tafsirkan oleh rakyat membenci kerajaan dan memdorong pihak lain mengambil kesempatan. Saya tidak dapat bayangkan imej SAINS sekiranya ada pihak lain yang datang membantu membekal air untuk orang Islam mendirikan solat setiap waktu. Maka dengan itu, pengurusan SAINS perlu sensitif pada setiap tindakan  yang dianggap tidak popular.

 Sebagai mewakili agensi kerajaan, SAINS perlu menunjukkan keupayaan, perhubungan awam dan imej  yang baik  serta keiklasan sebagai agen kerajaan pemerintah yang peka dengan rakyat jelata.


Thursday, October 23, 2014

SYOR KAJI SEMULA CADANGAN PEMBERIAN SUBSIDI MELALUI MyKad

Saudara Pengarang,

Walaupun cetusan idea pemberian subsidi melalui MyKad ini baru di perdebatkan, saya begitu sangsi dengan perlaksanaan idea ini yang menjurus kepada perlaksanaan yang  kucar kacir terutama pengunaan MyKad orang lain.

Rata-rata masyarakat Malaysia belum begitu matang malah agak sensitif penarikkan bantuan  subsidi  yang mengakibatkan mereka menampung kesemua kos bahan api. Pengunaan MyKad seorang yang berpendapatan rendah  akan disalah gunakan oleh rakyat golongan pendapatan tinggi.

Contoh yang mudah untuk menerangkan fenomena ini ialah diantara ayah atau anak yang berpendapatan yang tinggi mengunakan MyKad ibu atau ayahnya yang didalam golongan pendapatan rendah. Bagaimana mekanisma ini menunjukkan  keadilan dan kredibiliti kerajaan?. Barangkali ada hujah mengatakan kita perlu beretika. Persoalannya apakah pencapaian nilai etika masyarakat Malaysia sudah ditahap matang?

Jadi, saya berpendapat kerajaan perlu membuat kajian yang lebih praktikal dan adil dengan melantik pihak yang neutral dan berwibawa secara ilmiah sebelum membuat keputusan yang boleh merendahkan imej  kerajaan.

Melantik beberapa Universiti atau Kolej di dalam Malaysia untuk membuat penyelidikan secara neutral boleh memberi input yang baik kepada kerajaan. Kerajaan tidak boleh bergantung dengan hasil penyelidikan dari agensi - agensi kerajaan  kerana sejak kebelakangan ini kajian tersebut terlalu "bias" yang rata-rata tidak mewakili inspirasi matlamat Kerajaan.Persekutuan.

Diharap Kementerian serta agensi kerajaan yang lain  lebih peka dengan mencari mekanisma yang terbaik   untuk mencari keadilan yang tidak banyak mengunakan  penguatkuasaan dari segi bilangan anggota, masa dan tindakan.