Thursday, August 12, 2010

PENTADBIR MELAYU TERTEKAN DAN EFEKTIF BILA DISAJIKAN SESUATU YANG BERTENTANGAN DENGAN BUDAYA MEREKA

Saudara Pengarang,

Tindakan MB Selangor menghadiahkan penyapu kepada pengurusan PBT dan PTD Selangor boleh dilihat dari pelbagai perspektif oleh masyarakat kita. Bagaimanapun, yang penting adalah penerimaan masyarakat lebih-lebih lagi kepada penerimanya samada perseorangan, mewakili organisasi atau sebagainya. Jika masyarakat kita boleh melihat anugerah penyapu sebagai sesuatu yang positif seperti warga Jepun dan Korea, maka pendekatan sebegitu perlu diteruskan kerana ia memberi nilai tambah kepada budaya kerja dan komuniti itu sendiri.

Tetapi apa yang dikhuatirkan apabila komuniti itu tidak dapat menerima pendekatan yang barangkali menghina dan menjelikkan sesaorang dan organisasi tersebut. Pada kebiasaannya, mengukur pretasi kerja dan pengurusan harus diadakan melalui pendekatan dalaman organisasi tersebut seperti pertandingan kreativiti, inovatif serta kepimpinan bagi mencari kaedah untuk meningkatkan moral dan pretasi organisasi berkenaan. Diharap dengan pendekatan sebegini dapat diterima oleh komuniti itu kerana peluang tersebut dapat mencelikkan komuniti dan budaya organisasi itu sendiri.

Apapun, saya dapat merasai kenapa MB Selangor menghadiahkan penyapu kerana sebelum ini sudah banyak rungutan dari masyarakat dan mesej-mesej supaya perubahan dan keberkesanan PBT dan PTD dapat dimanafaat oleh penduduk setempat. Malangnya, respon dari pentadbir - pentadbir ini amat dingin dan gagal menyerahkan pelan tindakan seperti yang diharapkan oleh pejabat MB. Barangkali faktor enggan berubah dari zon selesa (confort zone) sambil menikmati budaya kerja sambil lewa sehingga suasana kerja pejabat dan luar pejabat menjadi "warong sembang-sembang" tanpa melakukan banyak kerja-kerja bernilai kepada rakyat.

Maka dengan itu, sebagai pemimpin besar dan berpengaruh di Selangor, saudara Mohd Khir Toyo terpaksa mencari satu titik dimana "pendekatan menekan" perlu dilaksanakan supaya budaya kerja baru dan berwawasan dapat diteladani oleh generasi kepimpinan pelapis. Syabas, saya ucapkan kepada beliau walaupun barangkali "musuh politik" dan orang-orang yang tak sehaluan tidak bersetuju atau merestuinya.

CADANGAN SYARIKAT MINYAK AMBIL ALIH SEMUA STESYEN MINYAK DARI PENGURUSAN PERSEORANGAN

Saudara Pengarang,

Sekiranya pemilik stesyen minyak berkeras tidak mahu membekalkan petrol untuk orang ramai selepas jam 10 malam setiap hari, saya cadangkan semua stesyen minyak yang dimiliki oleh syarikat minyak yang diuruskan oleh perseorangan masa kini perlu diambil alih dan diuruskan oleh pekerja syarikat minyak itu sendiri. Sebagai pengguna, saya merasa terhina kerana peluang perniagaan yang dirangsang oleh kerajaan satu ketika dulu memberi peluang kepada pengusaha perseorangan terutama bumiputra kini seolah-olah mereka ini tidak mahu lagi memikul sedikit kos dan risiko tanpa memikirkan tanggungjawab sosial dan perasaan terima kasih kepada rakyat dan kerajaan. Jangan pula ada dikalangan pengusaha yang sudah hidup sedikit mewah tidak mahu menguruskan kerja yang pulangannya tak berapa dan berisiko.

Jika benar wujudnya isu keselamatan yang kritikal pada lewat malam, saya cadangkan persatuan ini perlu memikirkan satu dana dikalangan ahli bagi memperuntukan kawalan tambahan disemua stesyen minyak selain mengharapkan rondaan pihak polis. Mengenai isu kekurangan pekerja waktu malam , pengusaha perlu memikirkan satu bentuk inisiatif tambahan kepada pekerja shif malam, perlindungan insuran dan kawalan tambahan yang dikawal selia oleh persatuan sendiri.

Pada pendapat saya, perkara ini masih boleh dibincangkan bersama kerajaan yang barangkali beberapa initiatif dapat ditawarkan oleh kerajaan. Keputusan menutup stesyen selepas jam 10 malam boleh menjejaskan ekonomi negara kerana kecairan wang dalam menjana ekonomi kita perlu berterusan setiap waktu dan sedikit kealpaan boleh memberi impak yang kurang baik kepada urusan ekonomi kita.

Pengusaha sepatutnya memberi tumpuan kepada urusan perniagaan dan bukan lena dengan kemaruk berpersatuan sehingga lupa teras perniagaan. Jangan pula mengunakan isu-isu yang sensitif dan tidak rasional semata-mata untuk berpolitik menjatuhkan rakan dalam persatuan itu sendiri. Saya harap isu ini hanya gimik politik dalam sepak terajang semasa pemilihan orang nombor satu persatuan itu baru-baru ini dan keputusan menutup stesyen minyak selepas jam 10 malam perlu ditarik balik.

PERLUASKAN AKTIVITI SIHAT DIKAWASAN LUAR BANDAR.

Saudara Pengarang,

Saya amat tertarik dengan pendekatan kerajaan dan badan-badan tertentu dalam memenuhi citarasa belia-belia dalam aktiviti yang berfaedah dan bermatlamat seperti penubuhan pasukan bolasepak FELDA United dan MyTeam. Ini selari dengan aktiviti yang disukai oleh belia-belia terdahulu dimana minat serta masa lapangnya banyak dipenuhi dengan aktiviti yang sihat.

Disini suka saya sarankan, permainan sepaktakraw dan hoki perlu dimartabatkan dengan mencungkil bakat-bakat terpendam dari peringkat akar umbi seperti dari perkampungan dan kawasan rancangan tanaman semula iaitu Felda dan Felcra. Diharap pihak-pihak tertentu barangkali dapat memikirkan mekanisma bagaimana untuk mendapat bakat-bakat muda seperti tertubuhnya pasukan MyTeam dan Akademik Fantasia.

Pemilihan berdasarkan "cekup sambil lewa" tanpa proses dari peringkat awal adalah tidak praktikal dan terbukti banyak kelemahan apabila pasukan yang tidak mantap terkulai layu diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.

Diharap aktiviti ini dapat digarapkan dalam perancangan yang lebih meluas kepada belia-belia kita.


TENGKU MAN
Pandan Indah, KL.

SYOR KEPADA KERAJAAN ELAK PIHAK BERKEPENTINGAN MENGUNAKAN ISU SAMAN EKOR SEBAGAI MODAL POLITIK

Saudara Pengarang,

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan menimbang semula rungutan rakyat yang dikenakan saman ekor. Begitu juga, kepada parti politik atau NGO yang mewakili orang ramai dalam melontarkan idea - idea dari pelbagai perspektif.

Apa yang penting kini adalah pihak berkuasa samada Polis atau JPJ hendaklah membekukan semua saman ekor supaya para penguna jalanraya dapat memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.

Kedua, pihak Polis menyemak kembali bukti bukti pengiriman saman-saman kepada pemilik kenderaan. Jika terbukti pengiriman telah dibuat maka tindakan selanjutnya boleh dikuatkuasakan. Jika tiada pembuktian saman-saman tersebut pernah dikirimkan melalui pos atau sebaginya kepada pemilik mengikut alamat terkini maka golongan ini perlu dimaklumkan segera dengan bukti-bukti yang boleh menyokong saman tersebut.

Apabila perkara asas seperti diatas telah disempurnakan dengan teliti, pihak polis perlu bersedia untuk berdepan dengan pemilik-pemilik kenderaan dimahkamah. Umum mengetahui bahawa beberapa kes saman antaranya "Lim Yaw Chiang lawan JPJ" pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah pada tahun 2009. Jadi, bagi menjaga intergriti pihak berkuasa dicabar oleh rakyat sendiri tindakkan kontrovesi perlu dibendung supaya rakyat sentiasa menghormati pihak berkuasa dalam menjalankan tugas.

Saya pernah mengalami nombor kenderaan saya di senarai hitamkan pada tahun ini kerana kononnya membawa kenderaan melebihi had laju lebuhraya KL- Kuantan berhampiran Maran pada tahun 2008 tanpa notis saman disampaikan samada tahun 2008, 2009 dan sehinggalah hendak memperbaharui cukai jalan pada tahun ini 2010. Bagi mengelak kesalahan berganda saya menjelaskan saman tersebut (dengan protes) sebanyak RO300.00 tanpa diberi peluang diskaun.

Diharap syor ini dapat di ambil kira supaya tiada pihak pihak lain mengunakan isu ini sebagai modal politik yang mudah dengan memanupulasi menjadi satu asas atau rasional yang boleh menpengaruhi rakyat biasa benci kepada penguatkuasa.


TENGKU MAN
Pandan Indah

Wednesday, July 28, 2010

QUOTA DAN DISKAUN UNTUK BUMIPUTRA PERLU DIPERKUKUHKAN DAN BUKAN DIHAPUSKAN

Pengarang,



Saya merujuk kenyataan seorang ahli parlimen dalam sidang Dewan Negeri Selangor untuk menghapuskan keistimewaan bumiputra.

Kenyataan yang saya anggap sebagai provokasi dari seorang bukan bumiputra mengenai pemansuhan diskaun kepada bumiputra mengerakkan saya untuk menulis didalam ruangan ini.



Walaupun pada masa kini transaksi jual beli rumah diberi pelbagai diskaun oleh pemaju perumahan kepada bumiputra, yang nyata unit rumah yang diperuntukkan oleh pemaju adalah unit-unit yang tidak mendapat sambutan oleh bukan bumiputra kerana budaya dan kepercayaan mereka.



Contoh yang nyata, unit bumiputra yang diberi diskaun yang diperuntukkan adalah unit unit dipersimpangan tiga, berhampiran dengan rumah-rumah kos rendah serta unit rumah yang menghadap matahari jatuh yang kebiasaannya panas terik memasuki ruang rumah.



Jika itu ukurannya, sudah tentu unit-unit ini dijual dengan harga rendah dan bukan lah satu "keistimewaan" yang memihak kepada bumiputra tetapi adalah unit-unit bermasalah dari segi pemasaran. Oleh itu, semangat "keistimewaan" untuk bumiputra adalah sebenarnya tidak dilaksanakan sejak berpuluh-puluh tahun lalu seperti termaktub dalam dasar membantu bumiputra.



Maka dengan itu, saya sarankan dasar-dasar tadi perlu diperhaluskan supaya perlaksanaannya mengikut inspirasi perlembagaan Malaysia dan ia perlu diperkukuhkan semula samada quota serta diskaun untuk dinikmati oleh pembeli bumiputra. Tindakan tidak meluluskan pelan dan projek perlu dibuat kepada mana-mana pemaju yang cuba "mendiskriminasikan" unit - unit rumah antara bumiputra dengan bukan bumiputra.




TENGKU MAN
Pandan Indah

Monday, July 12, 2010

HADKAN WAKTU PERJALANAN BAS WAKTU MALAM

Saya berpendapat sudah sampai masanya perjalanan bas pada waktu malam dikaji dari semua aspek termasuk faktor kelalaian manusia, struktur jalanraya, struktur bas serta cuaca di Malaysia.

Kajian perlu berterusan dan bukannya seperti pepatah hangat hangat tahi ayam terutama hanya panas apabila berlaku kemalangan yang meragut nyawa banyak manusia yang tidak bersalah serta menambah ramai kehilangan insan tersayang dimana anak-anak kecil menjadi yatim piatu, bakal pengantin pula tak kesempatan bersatu dan bekas isteri pahit menyara anak-anak bagi menyambung hidup didunia ini.

Bagi mengurangkan kemalangan dan keperitan keluarga lain yang lambat laun akan menjadi mangsa kemalangan, maka saya syorkan kerajaan perlu melihat perjalanan waktu malam pada masa terdekat mengunakan sistem tren dan komuter sebagai alternatif bagi mempastikan pergerakkan manusia tidak tersekat dan merangsang ekonomi negara.

Perjalanan bas dari stesen bas barangkali dihadkan sberlepas selewat-lewatnya jam 6.00 petang sahaja bagi perjalanan memakan masa 6 jam. Selepas waktu 6.00 petang semua perjalanan bas digantikan dengan tren atau komuter.Dengan itu, adalah menjadi harapan sistem sokongan atau gantian ini perlu lebih cekap, efisen dan flesibel bagi mengamit pelanggan-pelanggan.

Saya percaya dengan perkembangan pembangunan KTM terkini adalah tidak mustahil cadangan ini dapat direalisasikan apabila landasan berkembar antara Ipoh - Kuala Lumpur - Seremban - Gemas dapat dipanjangkan sehingga Singapura dan Padang Besar pada masa fasa seterusnya.

Diharap syor ini mendapat perhatian serius dari pihak kerajaan serta jabatan-jabatan yang berkenaan lebih fokus tentang keselamatan manusia.

SAMAN EKOR BOLEH JEJAS INTEGERITI POLIS

Penjelasan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof mengenai proses pengeluaran saman dan menyenarai hitam kenderaan amatlah dihargai.

Walaubagaimanapun, apa yang dipertikaikan oleh pemilik kenderaan ialah proses penyenaraian hitam kenderaan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Saya adalah salah seorang mangsa saman ekor dimana nombor kereta saya disenarai hitamkan oleh pihak JPJ kerana kesalahan yang saya tidak pernah diberitahu sehinggalah pada hari untuk memperbaharui cukai jalan pada 17/6/2010.

Mengikut rekod JPJ, saya telah disaman pada KM 180.6 L/RAYA PANTAI TIMUR pada 14/2/2008 iaitu sudah 2 tahun berlalu tanpa sebarang peringatan atau notis sampai kealamat rumah yang saya diduduki sejak 20 tahun yang lalu. Sekiranya proses pengeluaran saman dipatuhi oleh pihak polis, saya percaya saman tersebut pasti sampai ditangan saya dengan segera untuk tindakan.

Ironiknya, semasa membaharui cukai pada tahun 2009, tiada pula masalah penyenaraian hitam semasa saya membaharui cukai jalan kereta yang sama sehingga Jun 2010.

Bagi mengelakkan kesalahan berganda tanpa cukai jalan di jalanraya, saya terus membayar kompaun yang tidak boleh dirayu lagi sebanyak RM300.00 pada 18/6/2010. Sebagai rakyat Malaysia yang tahu proses undang-undang, adalah begitu janggal dan malang jika pihak berkuasa mempraktis pengeluaran, penyenaraian hitam kenderaan dan pemandu tanpa mengikut proses undang-undang yang betul.

Amat malang jika dilihat ramai pengamal undang-undang dan rakyat biasa mempersoalkan tindakan pihak berkuasa sendiri tidak menghormati undang-undang dalam penguatkuasa undang-undang itu sendiri. Oleh itu, pihak perundangan di Bahagian Penguakuasa ( PDRM,JPJ ) perlu menasihati jabatan jabatan masing masing supaya pihak berkuasa perlu mengikuti proses perundangan supaya kerja-kerja mereka tidak dipersoalkan , diperlekehkan serta dicabar dimahkamah.

Saya harap pihak PDRM dan JPJ perlu menjaga intergriti jabatan masing-masing supaya ia tidak menjadi topik perbahasan dikalangan rakyat dan dijadikan modal dalam perbahasan diparlimen.
TENGKU MANPandan Indah