Tuesday, November 7, 2017

SYOR MINTA SKMM BERTINDAK SEGERA MENYEKAT DALANG YANG MEMBOCORKAN MAKLUMAT PERIBADI PENGGUNA TELEPON BIMBIT

Saudara Pegarang,

Sejak beberapa bulan dahulu saya menerima caj bil telepon bimbit yang tinggi sedangkan saya tidak mengunakan perkhidmatan "Value Added Service" dari  salah sebuah syarikat telekomunikasi (DIGI).

Didalam bil terperinci telepon bimbit saya, tercatit nombor  penghantar  36670 dimana setiap sms yang mereka hantar, saya dikenakan RM4.00  tanpa pengetahuan saya. 

Pada bil bulan Oktober 2017, saya terpaksa membayar tambahan hampir RM100.00 kepada DIGI. Jika saya enggan membayar, perkhidmatan telepon saya akan di tamatkan.

Setelah saya berjumpa dengan pihak DIGI, mereka mengatakan memang ada syarikat yang mereka tidak ketahui menghantar mesej-mesej tersebut kepada pelanggan mereka untuk mengaut keuntungan dan pihak DIGI terpaksa membayar kepada mereka. 

Mereka menasihatkan pelanggan untuk menghentikan penerimaan mesej tersebut sedangkan pihak DIGI tahu bahawa mesej-mesej tersebut dari satu  sindiket penipuan yang tidak diketahui.

Saya amat pelik bagaimana nombor telepon saya boleh di gunakan oleh pihak ketiga menghantar mesej dan segala caj di bawah tanggungan saya tanpa persetujuan saya.

Dari keterangan yang diberi, pihak DIGI  tidak menyoal siasat latar belakang syarikat tersebut malah terus membayar tuntutan dari sindiket ini.


Bayangkan jika sehari mereka menghantar mesej tersebut sekurang-kurangnya dua kali, maka setiap hari pengguna dikenakan  caj RM8.00 sehari. 

Jika sebulan, hampir mencecah RM240.00 setiap pengguna. Jadi, jika DIGI  mempunyai ribuan pengguna, syarikat yang menghantar mesej ini telah mendapat Jutaan Ringgit dalam sebulan.

Oleh itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak segera dengan menyoal integriti kesemua syarikat-syarikat telekomunikasi dengan serta merta dan mereka perlu bertanggungjawab segala caj-caj yang telah di bayar kepada  mereka.





TENGKU MAN
Senawang

SYOR MINTA MAJLIS PERBANDARAN NILAI (MPN) MENANGGUHKAN KENAIKAN CUKAI PINTU

Saudara Pegarang,

Baru-baru ini sebahagian dari penduduk di sini  dan berkemungkinan taman-taman perumahan di kawasan pentadbiran MPN  telah menerima Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian dari MPN. 

Di dalam penyataan MPN menyatakan untuk meminda senarai nilaian harta di dalam pentadbirannya. Kadar kenaikan cukai yang di cadangkan antara 50%-70% yang menghampiri sekali ganda,

Memandangkan ekonomi yang agak lembab , majoriti usia penduduk disini mencecah warga emas serta pilihanraya umum menjelang tiba, adalah besar harapan saya pihak MPN mengkaji semula hasrat mereka untuk membebankan rakyat yang rata-rata sudah selesa bersama MPN dan mengelak inisiatif MPN ini di politikkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

SYOR SEMUA INSTITUSI MENGAMBIL BERAT TENTANG FAKTOR KEJIRANAN

Saudara Pegarang,

Siasatan awal kes kebakaran kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat mendedahkan   kejadian ejek mengejek  antara pelajar pusat tersebut dengan sekumpulan remaja dari kawasan yang sama.

Ini mungkin boleh menjadi iktibar bukan saja kepada pusat tersebut tetapi kepada institusi yang berjiran dengan masyarakat di sekeliling. 

Pemimpin institusi tersebut perlu memainkan peranan untuk mempastikan hubungan antara institusi dengan jiran perlu di pantau setiap masa.

Oleh itu, apa juga program di dalam dan di luar institusi tersebut hendaklah melibatkan masyarakat setempat.
Dengan adanya program-program berbentuk kejiranan maka pihak institusi dapat bertemu dengan ibubapa atau penjaga serta persatuan-persatuan kejiranan.

Dari pemerhatian saya, institusi seperti sekolah, kolej dan universiti yang terletak di kawasan perumahan kurang melakukan aktiviti -aktiviti melibatkan kemasyarakatan setempat.

Beberapa tahun dahulu saya pernah  menulis di ruang ini menekankan  pentingnya sesebuah sekolah di dalam taman perumahan  menjemput jiran-jiran terdekat (walaupun mereka tidak mempunyai anak di sekolah tersebut)  di dalam program-program sekolah yang melibatkan kejiranan. 

Pemimpin atau pengetua perlu faham bahawa tinggal berjiran dengan sekolah banyak faktor-faktor yang menjejaskan keselesaan jiran  terutama faktor lalu lintas, kesesakan serta kebisingan. 

Dengan adanya sesi perjumpaan atau program sekolah atau institusi dapat menghindar dari perkara-perkara yang melibatkan salah faham berterusan , ketidakpuas hatian  dan sebagainya.

Ironiknya, ada Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) di iktirafkan oleh Jabatan Pendidikan sebagai persatuan cemerlangan di peringkat negeri tetapi aspek kejiranan tidak di jadikan sebagai salah satu Petunjuk Pretasi Utama / Key Performance Indicator (KPI) dalam tugasan utama kepimpinan mereka. Ini satu realiti kerana keluarga kami adalah jiran di salah sebuah  institusi yang di sebutkan.




TENGKU MAN
Senawang

KES HAYUN KUNCI STERING KERETA - APA MOTIF CEPAT SANGAT BERI PENGHARGAAN

Saudara Pegarang,

Baru-baru ini tular video penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ berhadapan wanita Cina bertindak menghayun kunci stering kereta kerana tidak berpuas hati tayar kenderaannya diapit oleh pihak majlis perbandaran.

Beberapa hari kemudiannya wanita tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Semasa siasatan masih berjalan, ADUN Subang Jaya , Hannah Yeoh dan Adun Kinrara, Ng Sze Han telah memberi penghargaan kepada Pegawai Penguatkuasa MPSJ, Nor Safuan Bin Nordin kerana bersikap profesionalisme dan kesabaran semasa berhadapan dengan wanita tersebut. Sila rujuk ROKETKINI.COM.

Persoalannya, adakah majlis penghargaan ini secara tidak langsong akan menganggu atau mempengaruhi siasatan yang dijalankan terhadap wanita tersebut atau lebih mudah di perkatakan  ingin  mengalih perhatian dengan menukar perkara pokok?

Penghargaan sebegini sepatutnya boleh di beri selepas kes ini selesai supaya tidak wujud keraguan siapa yang benar dan siapa yang bersalah. Kebiasaannya, penghargaan sebegini di beri semasa majlis makan malam tahunan dan bukan tergesa-gesa.

Saya berpendapat strategi mengalih tumpuan ini cukup halus untuk meredakan kes yang kebarangkalian tidak memihak  kepada pihak tertentu sedangkan pegawai MPSJ tersebut  seolah-olah sudah "di telanjangi" keperibadian diri, bangsa dan agama beliau sendiri dengan cemuhan dan kata-kata kesat yang di lontarkan oleh wanita tersebut. 

Bagaimana perasaan  seorang anak, isteri dan ibubapa atau saudara mara kita melihat kita di perlakukan sekian rupa? 

Oleh itu, adalah tidak adil ada pihak-pihak tertentu cuba mencacatkan siasatan yang sedang berjalan. Pesalah perlu di kenal pasti dan  di hukum terlebih dahulu sebagai pengajaran kepada orang lain.




TENGKU MAN
Senawang