Thursday, October 12, 2017

SYOR AMAH BEKERJA DENGAN SYARIKAT DIMANA "MAJIKAN" BEKERJA.

Saudara Pengarang,

Cerita mengenai amah nampaknya tiada kesudahan. Diperingkat tertinggi membincangkan dari segi semangat dan kerjasama jangka panjang tetapi sebaliknya diperingkat perlaksanaan tidak pula mengambil kira semangat atau dasar yang telah dipersetujui diperingat tertinggi.

Apa yang ingin saya terokai di sini adalah syor syarikat-syarikat tempatan atau persatuan penduduk mengambil alih pengurusan amah amah dari luar negara sebagai majikan kepada pekerjanya.

Dengan cara ini, amah-amah tersebut akan ditawarkan berkerja dan membuat kerja yang spesifik bagi menepati kemahuan pihak negara pembekal. Contohnya, seorang amah akan menjaga lima anak kecil dan seorang amah lagi memasak. Sekiranya memerlukan lebih banyak aktiviti di rumah pengasuh dan jumlah anak-anak untuk dijaga maka lebih ramai amah diperlukan.

Maknanya, satu amah membuat kerja yang sama tetapi menjaga lima orang anak-anak dan seorang lagi amah membuat kerja memasak sahaja untuk sepuluh orang dan sebagainya. Kaedah ini lebih menjimatkan terutama keluarga yang kurang berkemampuan. Malah menepati apa yang dikehendaki oleh pihak pembekal seperti negara Indonesia. Upah dibayar oleh ibubapa setiap bulan kepada majikan dan majikan akan membayar gaji kepada amah-amah tersebut.

Formula ini barangkali boleh diguna pakai kepada warga emas yang memerlukan tempat dan suasana yang baik dipenghujung usia mereka bagi mengelakkan sindrom kemurungan dan kemuraman. Dengan mewujudkan Pusat Penjagaan Warga Emas yang serba moden dengan dilengkapi dengan surau, pusat kesihatan,chalet untuk keluarga pelawat dan sebagainya , saya percaya "pusat terapi" sebegini dapat diterima oleh keluarga yang mempunyai masaalah penjagaan ibubapa.

Barangkali konsep ini memerlukan pemikiran diluar kotak serta pengorbanan budaya dan amalan bagi mempastikan permasalahan keluarga generasi ke generasi dapat diurus secara profesional dan berhemah samada pewaris maupun warga emas yang mahu me nikmati taraf hidup dan kesihatan yang sihat dan sempurna.



TENGKU MAN
Pandan Indah
Kuala Lumpur