Thursday, October 12, 2017

PLKS: Kembalikan kepada imigresen

SAYA tertarik dengan tulisan TENGKU MAN dari Pandan Indah yang disiarkan ruangan Forum Utusan Malaysia pada 22 Jun 2017 berkaitan kekecewaannya dengan perkhidmatan MyEG baru- baru ini.

Untuk pengetahuan semua sejak tahun lepas, tugas memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing telah diuruskan oleh syarikat MyEG Services Berhad (MyEG). Sejak itu juga perkhidmatan awam Jabatan Imigresen seluruh negara telah dipindahkan secara terus kepada syarikat tersebut.


Seperti yang kita sedia maklum, syarikat MyEG ini ditugaskan untuk memperbaharui permit pekerja asing bagi mengurangkan kesesakan di kaunter-kaunter Jabatan Imigresen seluruh negara bagi urusan memperbaharui permit pekerja asing yang diambil bekerja ke negara ini.

Bagaimanapun, keadaan yang diharapkan tidak berlaku sebaliknya perkhidmatan yang melibatkan syarikat MyEG ini gagal berfungsi dengan berkesan. Malah perkhidmatan yang disediakan dengan bilangan kakitangannya yang terhad hanya terdapat di ibu pejabat MyEG di Jalan Damansara.

Apa yang boleh saya katakan, pengalaman memperbaharui permit pembantu rumah di MyEG sebelum ini amat sukar bahkan lebih teruk berbanding di Jabatan Imigresen sendiri.

Setidak-tidaknya, di Jabatan Imigresen, pelanggan hanya perlu menunggu kurang setengah jam bagi setiap urusan selepas mendapatkan nombor giliran.

Di kaunter Jabatan Imigresen kita hanya perlu berikan pasport pekerja dan buat bayaran. Kemudian tunggu pengesahan serta akuan rasmi daripada pihak imigresen. Setelah itu pelekat PLKS atau permit pekerja akan ditampalkan pada pasport. Semuanya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Tidak memakan masa berhari-hari pun.

Berbanding langkah memperbaharui PLKS di MyEG, setelah beberapa kali mendaftar secara dalam talian, beberapa kali juga sistem tidak dapat mengesan nombor pasport pekerja dan setiap maklumat yang dipinta.

Mahu tidak mahu, akhirnya majikan terpaksa ke kaunter utama syarikat tersebut di Jalan Damansara. Setelah mengambil giliran dan menunggu dengan purata waktu selama sejam lebih, urusan pembayaran akan dibuat di sana secara dalam talian.

Malangnya, majikan harus pulang ke rumah dahulu dan beberapa hari kemudian barulah pelekat akan dicetak dan ditampalkan pada pasport pekerja. Di sini majikan diberikan pilihan sama ada wakil mereka (MyEG) akan menghantar di pejabat atau di rumah pada waktu bekerja ataupun perlu hadir sekali lagi untuk tujuan menampal pas pelekat permit berkenaan. Yang pasti, prosedur ini memakan masa cukup lama.

Akhirnya, proses urusan PLKS yang dikendalikan oleh MyEG bukanlah sesuatu yang memudahkan malah memakan masa sehingga dua minggu berbanding kurang sejam di Jabatan Imigresen. Bagi saya Jabatan Imigresen tentu lebih berhak menyimpan dokumen dan maklumat rasmi ini (maklumat pekerja asing) atas faktor keselamatan negara.

Secara peribadi saya amat bersetuju sekiranya perkhidmatan ini tidak lagi dimonopoli oleh MyEG yang dilihat tidak kompeten terutama dalam menguruskan dokumen rasmi kerajaan antaranya urusan memperbaharui PLKS.

Oleh itu, saya syorkan perkhidmatan memperbaharui PLKS dikembalikan semula kepada Jabatan Imigresen yang terbukti lebih cekap menguruskan proses dokumentasi ini selain mempunyai cawangan di seluruh negara.

Ditambah lagi Jabatan Imigresen kini telah dilengkapi dengan beberapa prasarana yang telah dibangunkan bertujuan bagi memudahkan lagi urusan jabatan tersebut dengan orang awam. Oleh itu tiada lagi paksaan secara mandatori untuk kita memperbaharui PLKS pembantu rumah mereka di sebuah syarikat swasta yang tidak kompeten lagi memakan masa pelanggan.

FAIZAL MUHD FAXEL WEL

Petaling Jaya