Thursday, October 12, 2017

Jenayah ragut: Apa kesudahannya?

KIRA-KIRA tujuh tahun lalu isteri saya diragut beg dan barang kemas sebanyak dua kali semasa berjalan kaki di antara Jalan Pandah Indah 14 ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah.

Saya juga pernah melihat kes ragut di hadapan rumah saya di taman perumahan sama. Begitu juga, saya dimaklumkan mengenai pe-ningkatan kes ragut dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.


Saya percaya setiap kes ragut di kawasan tersebut telah dilaporkan serta rondaan polis di buat dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini tersebar kisah dimana seorang gadis dicederakan dengan tangannya ditetak semasa meragut beg beliau.

Persoalannya, setakat mana keberkesanan seseorang individu berjaga-jaga, penduduk dan sukarelawan mengawal kawasan di setiap masa dan penjuru taman secara efisien?

Bagi pihak polis pula, keberkesanan pemantau dan rondaan di kawasan tugasan yang agak luas untuk tindakan secepat mungkin.

Apa yang kekurangan kini adalah kesepakatan untuk bekerjasama di antara penduduk, orang awam dan pihak berkuasa. Begitu juga mencari mekanisme secara efektif untuk membendung jenayah ini yang berlarutan dan semakin merbahaya.

Dalam lawatan saya ke Guang Zhou, China sedikit masa lalu, saya perhatikan pemantauan terhadap laluan orang awam ialah melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di laluan orang awam yang dipantau terus kepada pihak berkuasa berhampiran.

Oleh itu saya sarankan setiap laluan orang awam terutama di tepi jalan atau lorong ke arah stesen pengangkutan awam seperti LRT dan bas atau teksi perlu dipantau dengan CCTV yang disambung terus ke balai atau pondok polis berdekatan atau pondok komuniti atau pengawal penduduk kawasan tersebut.

Dengan sistem CCTV yang berkualiti serta pencahayaan lampu yang terang di laluan tersebut, sebarang ancaman dapat dikenal pasti, pengecaman suspek senang dikenal pasti serta memperoleh barang bukti yang jelas.

Saya percaya inisiatif ini dapat perhatian pihak berkuasa tempatan serta penduduk tempatan pula dapat memberi sumbangan sama ada daripada segi kos, masa dan tenaga untuk kerja pemantauan dari pondok-pondok pengawal tersebut.

Begitu juga, pihak berkuasa se-

perti polis dan majlis tempatan dapat membuat kekerapan rondaan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes jenayah ragut dan ugut.

Diharap pemantauan secara kolektif antara pihak berkuasa tempatan seperti majlis perbandaran, pihak polis dan penduduk tempatan dapat membendung kes ragut yang semakin meningkat.

TENGKU MAN

Pandan Indah