Thursday, October 12, 2017

Haramkan bina kilang dekat kampung dan sungai

SAUDARA PENGARANG,

DARIPADA pengamatan saya, kilang-kilang yang beroperasi di hulu sungai dan di kawasan kampung amat sukar untuk mematuhi piawai pencemaran air dan bunyi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sekali gus boleh menjejaskan alam sekitar dan ketenteraman hidup penduduk tempatan.


Lazimnya kehidupan di sebuah perkampungan pada aman, sunyi, tenang dan semuanya ini sesuai dengan sifatnya yang mendamaikan. Ketenangan inilah yang memikat kami sebagai anak desa untuk terus pulang ke kampung selain faktor menjenguk ibu bapa tercinta.

Malangnya, kedamaian tersebut dirosakkan dengan pencemaran bunyi dan alam sekitar gara-gara wujudnya sebuah kilang sawit yang beroperasi di hulu sungai. Ternyata kilang yang didirikan itu tidak mematuhi setiap undang-undang yang ditetapkan.

Mereka beroperasi sesuka hati dan saya difahamkan pelbagai amaran serta denda dikeluarkan kepada pemilik kilang terbabit. Bagaimanapun mereka tetap meneruskan operasi kerana hasil keluaran kilang itu dikatakan menguntungkan. Atas sebab itu, mereka tidak serik membayar sejumlah besar denda yang dikenakan.

Kilang sawit yang dimaksudkan ini didirikan di pinggir sebuah kampung di Gemencheh, Tampin. Disebabkan terlalu banyak aduan, pihak berkuasa terpaksa memantau operasinya setiap masa bagi memastikan operasi mematuhi syarat-syarat piawaian pencemaran yang ditetapkan.

Pada hemat saya, pemantauan sebegini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kilang tersebut didirikan di kawasan yang sesuai serta terancang dan bukannya di kawasan kampung atau penempatan penduduk.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa perlu lebih bertegas iaitu dengan tidak membenarkan kilang didirikan di kawasan penempatan atau berhampiran dengan penempatan. Kilang juga tidak wajar dibina berhampiran kawasan sungai bagi mengelakkan pencemaran.

Justeru sebarang permohonan untuk membina kilang sama ada di kawasan penempatan atau sungai wajib ditolak oleh pihak berkuasa. Jangan disebabkan operasi sebuah kilang penduduk pula yang akhirnya menjadi mangsa.


TENGKU MAN
Senawang