Friday, July 25, 2014

RON95: Orang kaya juga bayar cukai

SEJAK kebelakangan ini semacam banyak cakap-cakap dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ingin menjadi juara mahu menyekat penggunaan RON95 kepada pengguna-pengguna berada/mewah dengan tidak memberi harga subsidi semasa pembelian RON95. Mereka berpendapat pembelian RON 95 bersubsidi kepada pemilik "kenderaan mewah" perlu di sekat atau diminta membayar tanpa harga subsidi.
Ingin saya bertanya kepada para "juara kampung" ini adakah mereka pembayar cukai yang tertinggi serta penyumbang cukai pendapatan untuk negara?
Apa salahnya pengguna yang dikategorikan orang berada ini menikmati sedikit subsidi bersifat "rebat" dari sumbangan mereka sebagai pembayar cukai terbesar yang menjadi tunjang penggerak ekonomi negara?
Jika melihat dari perspektif warga negara yang rajin atau berada ini, warga yang tidak menyumbang dari segi cukai pendapatan atau tenaga untuk menggerakkan ekonomi negara sepatutnya tidak layak menerima rebat (subsidi) kerana mereka tidak memberi apa-apa dana atau sumbangan untuk melonjakkan ekonomi negara.
Oleh itu, saya berpendapat mereka ini perlu mencari satu sasaran yang lebih lojik seperti penyekatan pembelian bahan-bahan bersubsidi kepada warga asing yang tidak menyumbang kepada pergerakan ekonomi negara atau mereka ini dinasihati berhenti menjadi juara kampung yang menampakkan keperibadian yang rendah.
TENGKU MAN