Friday, July 25, 2014

Pasar Ramadan Senawang dan Ampangan perlu transformasi

BARU-BARU ini saya berkesempatan membeli juadah di beberapa pasar Ramadan di sekitar Senawang dan Ampangan di Negeri Sembilan. Apa yang saya dapat perhatikan bahawa pasar yang menjual juadah berbuka puasa ini tidak mengutamakan kebersihan di kawasan persekitaran.
Umpamanya, semasa saya mengunjungi pasar Ramadan Ampangan, saya dapati longkang besar yang memisahkan jalan raya Seremban-Kuala Pilah di sebelah pasar tersebut amat kotor dan menjijikkan.
Begitu juga keadaan khemah yang tidak terurus dan kebersihan dalam pasar tersebut. Saya difahamkan pasar ini terkenal dengan juadah tradisional dalam kalangan penduduk Ampangan dan kawasan yang berhampiran
Di harap pihak peniaga maupun majlis perbandaran di mana jua adanya tapak pasar Ramadan dapat memberi imej pasar ramadan yang bersih dan selesa selari dengan budaya dan amalan kita.
Adalah besar harapan pengunjung pada masa akan datang tapak Pasar Ramadan Ampangan ini akan menjadi satu model yang terbaik kebersihan persekitaran seperti saliran longkang, pejalan kaki serta khemah dapat didirikan dengan lebih teratur untuk menggamit lebih ramai pengunjung.

TENGKU MAN