Friday, July 25, 2014

Buletin Mutiara sangkal dakwaan pinggir bahasa Kebangsaan

SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada surat pembaca disiarkan dalam ruangan Forum akhbar ini terbitan bertarikh 2 Disember 2013, bertajuk Buletin Mutiara: Bahasa Kebangsaan dipinggirkan?
Apa yang dinyatakan adalah tidak benar kerana Buletin Mutiara mempunyai keluaran khas berasingan. Dalam bahasa Malaysia sahaja setebal 28 muka surat tanpa digabung bersama dengan penerbitan bahasa-bahasa lain.
Penulis yang memperkenalkan diri sebagai 'Tengku Man' tidak menyatakan lokasi naskhah Buletin Mutiara diperolehnya.
Menerusi surat Tengku Man, adalah dimaklumkan bahawa naskhah yang diperoleh beliau Buletin Mutiara versi campuran yang mana isi kandungannya adalah laporan penulisan dalam bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil dengan jumlah keseluruhan 22 muka.
Dua muka surat bahasa Malaysia yang dinyatakan adalah muka surat info (muka surat tengah) yang membekalkan maklumat-maklumat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senarai telefon kecemasan untuk rujukan umum dan program-program pelancongan semasa.