Tuesday, November 6, 2012

SYOR KTM bina stesen komuter di Sungai Gadut elak kesesakan.



ARKIB : 12/07/2002



Saudara Pengarang,

SAYA tinggal di Taman Tunku Jaafar, Senawang, Seremban dan bekerja tetap di Kuala Lumpur. Setiap lima hari seminggu saya menggunakan perkhidmatan komuter dari Seremban.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah kesesakan jalan raya di Seremban telah sampai ke tahap kritikal. Antara puncanya ialah sejumlah warga Seremban mengunakan jalan raya untuk berulang-alik kerja sama ada di Seremban atau luar Seremban terutama Kuala Lumpur.


Oleh itu, saya berpendapat wajar pihak KTM membina stesen di luar bandar Seremban supaya penduduk yang berulang alik berkerja di Kuala Lumpur dapat dipisahkan dari penguna jalan raya yang berkerja di kawasan Seremban.


Kawasan yang paling sesuai untuk dibina stesen komuter di luar Seremban ialah di Sungai Gadut, 10 kilometer dari pekan Seremban ke arah Senawang. Bakal pengguna komuter di stesen itu ialah penduduk taman-taman perumahan berhampiran di Paroi hinggalah Senawang.
Dengan cara ini, kesesakan lalu lintas jalan raya dari arah Senawang dan dari Paroi dapat dikurangkan.


Walaupun ketika ini terdapat hanya satu landasan antara Seremban dengan Sungai Gadut, saya percaya kadar penggunaan landasan ini oleh kereta api penumpang dan barang adalah kurang dan boleh dijadualkan semula bagi kegunaan komuter pada waktu puncak.
Perkongsian landasan antara Seremban dan Sungai Gadut sepanjang 10 kilometer hanyalah sementara sehingga landasan berkembar Seremban-Johor Bahru siap dibina.


Bagaimanapun, perkhidmatan ini perlu diadakan mulai sekarang kerana pembinaan landasan berkembar memakan masa yang lama sedangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Seremban bertambah kritikal. Jika keadaan ini dibiarkan, produktiviti kerja dan kesihatan pengguna jalan raya dan komuter juga akan terjejas. Diharap KTMB mempertimbangkan cadangan ini dari sudut tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat. -

TENGKU MAN, Seremban.