Friday, October 28, 2011

SYOR KAJI PERLEMBAGAAN FAM YANG TIDAK DEMOKRATIK.

Saudara Pengarang,


Kenyataan media Presiden Bolasepak Negeri Sembilan mengenai proses perjalanan mesyuarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat keputusan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia perlu dihalusi dengan membuat perubahan seperti dibawah.


1. Pengerusi mesyuarat perlu mengelak bersifat diktator dan tidak terbawa-bawa dengan latarbelakang sebagai penguatkuasa dan pernah memegang kuasa. Sukan adalah satu hiburan dan bukan mencari keuntungan atau tempat cari makanan atau kemewahan diri sendiri.


2. Ahli Jawatankuasa perlu mewakili beberapa negeri dan bukan di monopoli oleh sesebuah negeri. Dengan cara ini, dapat mengelakkan sikap "bias" secara spontan semasa mesyuarat berlangsung.

Mengikut ilmu saikologi, sekiranya perkara atau perlawanan itu tidak memberi impak kepada negerinya, mereka tidak menyuarakan perkara-perkara yang sangsi atau untuk perhatian rakyatnya tetapi barangkali lebih memberi tumpuan bakal kemewahan hasil dari perlawanan itu untuk peribadinya.

Sekiranya, keputusan itu melibatkan rakyat atau penyokong negerinya, mereka akan bersuara dengan pelbagai alasan untuk mengurangkan kos yang ditanggung oleh rakyat dan penyokong yang kononnya rata-rata berpendapatan rendah.


3. Barangkali sudah sampai masanya perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan FAM perlu di kaji semula termasuk pemilihan personaliti bakal ahli jawatankuasa yang lebih tinggi nilai setiakawan, berwibawa, berwawasan serta "zero controversial" yang boleh diterima oleh pelbagai generasi dan peringkat. Disamping perkara-perkara yang tidak demokratik di dalam perlembagaan FAM di kaji dan di hapuskan.

Setiap Jawatankuasa tersebut perlu diadakan penanda aras (KPI) dan akan di bubarkan sekiranya setiap keputusan jawatankuasa ini banyak mengundang kontroversi.

Oleh itu, Jawatankuasa FAM perlu di rombak mewakili pelbagai negeri dan displin supaya ia mencerminkan satu jawatankuasa yang berwibawa dan boleh membuat keputusan yang di terima oleh majoriti peminat-peminat sukan bolasepak.

TENGKU MAN
Pandan Indah, Kuala Lumpur