Monday, February 15, 2010

Kaji selidik mengenai KL biadab tidak adil

FORUM

ARKIB : 23/06/2006
Kaji selidik mengenai KL biadab tidak adil

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya tidak rasa tertekan dengan hasil kaji selidik oleh majalah Reader‘s Digest meletakkan Kuala Lumpur di tangga ketiga sebagai bandar raya paling biadab yang disiarkan dalam akhbar hari ini.

Untuk pengetahuan pembaca, rumusan kajian majalah itu adalah mengenai tahap budi bahasa atau biadabnya penduduk sesebuah bandar raya itu berdasarkan kepada kriteria-kriteria: ‘kesanggupan mereka membuka pintu untuk orang yang tidak dikenali’, ‘membantu orang lain’ dan ‘pekerja memberi perkhidmatan dengan keramahan dan senyuman’.

Apa yang saya lihat, tiga kriteria penilaian kajian tersebut tidak menampakkan satu rumusan yang adil kepada masyarakat kita.

Penilaian ‘membuka pintu untuk orang lain’ mempunyai makna yang luas dalam konteks cara berfikir orang Malaysia. Ia boleh memberi makna menolong membuka pintu semasa hendak memasuki premis, bilik air atau sebagainya.

Barangkali juga, ia mempunyai makna orang Malaysia perlu ‘membuka pintu’ seluas-luasnya kepada orang asing menjajah mental kita selepas kita sanggup membuka pintu untuk mereka bila masuk ke pejabat atau premis.

Kesimpulannya, ia adalah satu cara halus bagaimana orang asing cuba menjajah budaya kita secara berperingkat-peringkat dengan mendapatkan maklum balas yang selari dengan agenda mereka.

Jika dilihat dari perspektif kita, mengenai nilai murni orang asing di negara mereka, saya dapati mereka langsung tidak peka dengan kriteria di atas yang dianggap penting dalam masyarakat berbudaya.

Contohnya, jika kita melawat negara Barat, adakah kita dilayan dengan baik setibanya di lapangan terbang, di pintu luar lapangan terbang dan semasa kita sesat di dalam bandar mereka?

Yang pasti, bila kita hilang arah semasa bersiar-siar di bandar mereka, kita akan ditanya identiti dan entah apa lagi label yang akan diberikan kepada kita terutama orang Islam dan kemudiannya akan di soal siasat dalam satu bilik khas sama ada di bilik tahanan imigresen, polis dan sebagainya, sehinggalah mereka memperoleh maklumat semua sejarah perjalanan dan latar belakang kita.

Ini berbeza dengan cara kita menyambut mereka, di mana kita akan tatang mereka sebagai ‘Tuan Besar’ disebabkan pengaruh penjajahan yang masih tebal dalam sistem protokol dan budaya kita.

Persoalannya, adakah kriteria di atas masih merujuk supaya mereka perlu diberi layanan sebagai ‘Tuan Besar’ sehingga kita mahu menerima hasil kaji selidik yang jelik ini?

– TENGKU MAN,

Pandan Indah,

Selangor.